Anwar gesa kerajaan perjelas beberapa isu berbangkit

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan memberi penjelasan berkaitan beberapa perkara yang timbul sejak kebelakangan ini.

Anwar berkata, isu-isu tersebut memerlukan tindakan dan jawapan segera bagi mengelakkan Malaysia sukar untuk bangkit sebagai negara berintegriti dan bertanggungjawab.

“Perdana Menteri tidak seharusnya berdiam diri tatkala hal-hal mendesak ini terus mencengkam negara dan rakyat, serta bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan Memorandum Persefahaman (MoU).

“Saya fikir sekiranya ia tidak ditangani dan dibetulkan, maka Malaysia akan menemui kepayahan untuk bangkit semula sebagai tatanan yang baik, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu Anwar turut menyenaraikan enam perkara yang dituntut mendapatkan penjelasan segera kerajaan antaranya isu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Badan Kehakiman Negara melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali; skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002 melibatkan dakwaan Mahkamah Perancis terhadap syarikat aset pertahanan, Thales serta pendedahan terkini mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah di New York, Amerika Syarikat.

Selain itu Anwar turut menuntut penjelasan mengenai kes melibatkan Serba Dinamik dan Suruhanjaya Sekuriti; projek mega pelaksanaan rangkaian 5G yang dianugerahkan kepada konglomerat Digital Nasional Berhad (DNB) serta kejatuhan matawang ringgit Malaysia akibat hilang keyakinan terhadap dasar dan keupayaan kerajaan dalam mengemudi ekonomi.

“Yang terakhir adalah berkaitan kos sebenar projek MRT yang kini mencecah RM60 bilion, hal semasa terkait inflasi dan harga barang juga mesti ditangani dengan baik agar beban kepada rakyat dapat dikurangkan.

“Kelesuan ekonomi saat ini ketimbang negara jiran Indonesia dari segi pelaburan asing (FDI) serta angka-angka melibatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, pertumbuhan ekonomi, kadar kemiskinan serta pengangguran mesti dicerakinkan, diperbetul dan diperkukuhkan.

“Saya menyeru rakyat supaya sedar dan menolak kelesuan ini serta bangkit menuntut perubahan sebaiknya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!