Jualan MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri jadi tumpuan warga setempat
KUANTAN - Gerai jualan barangan basah terutama ayam,daging, ikan dan sayur-sayuran menjadi tumpuan orang ramai pada Jualan MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri Parlimen Indera Mahkota di sini pada Sabtu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi untuk mendapat barangan keperluan Aidilfitri yang ditawarkan pada harga lebih rendah pada program jualan di kawasan parkir Wisma Belia, Indera Mahkota di sini.
Barangan kawalan masih dijual pada harga siling namun orang ramai berpeluang membelinya pada harga jauh lebih rendah dari harga biasa melalui jualan 'Happy Hour'.
Bagi barangan lain, pihak pengeluar dan peniaga yang mengambil bahagian pada program jualan itu menawarkan harga promosi yang lebih rendah berbanding harga biasa.
Bagi seorang pengunjung, Rohana Ariffin, 58 dari Perkampungan Cenderawasih di sini berkata, dia merebut peluang tawaran harga rendah untuk membeli barang keperluan persiapan Aidilfitri di program jualan itu.
Menurutnya, Program Jualan MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri itu amat baik dan memberi satu alternatif kepada penduduk setempat mendapatkan barang keperluan tanpa perlu bersesak di pasar sedia ada.
"Harga yang ditawarkan juga lebih murah dan segar.
"Jadi saya rebut peluang datang lebih awal untuk memberi barang yang diperlukan termasuk ayam, daging, sayur dan kordial sebelum kehabisan. " katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Asri Seman,54 dari Balok di sini berkata, dia dan isteri, Aida Mustafa 46 mendapat tahu program jualan itu selepas ia diuar-uarkan melalui laman sosial dan aplikasi Whatsapp.
Menurutnya, dia mengambil keputusan membeli barangan keperluan untuk juadah Aidilfitri di situ selepas mendapat tahu kebanyakan pasar sesak dengan pelanggan.
"Walaupun gerai jualan basah agak terhad,yang penting barang yang kami diperlukan ada di sini malah harganya juga lebih murah," katanya.
Bagi, perantau dari Shah Alam yang pulang berhari raya di Indera Mahkota 2 di sini, Saiful Nazly Nawi, 42 menyambut baik usaha pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) atas program itu yang disifatkan sesuai pada masanya.
Menurutnya, ketika orang ramai sibuk menyiapkan persiapan Aidilfitri, program jualan seperti itu dapat membantu pengguna terutama penduduk setempat untuk mendapatkan barangan keperluan.
"Melihat kepada sambutannya, saya cadang pihak Fama supaya menambahkan lagi gerai jualan untuk penganjuran akan datang," katanya yang datang berbelanja bersama isteri, Sarina Abdol Sukor,44.
Sementara itu, Ahli Perlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, potongan harga barangan kawalan pada program jualan itu adalah melalui subsidi dari Pejabat Parlimen Indera Mahkota.
Menurutnya, harga murah itu hanya untuk satu tempoh terhad berdasarkan jumlah barangan yang telah disediakan.
"Sekurang-kurangnya ia dapat membantu pengguna khususnya dari kawasan Parlimen Indera Mahkota ini untuk membeli keperluan persiapan hari raya masing-masing," katanya.
Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri pula berkata, sebanyak 400 kilogram daging segar dan 300 ekor ayam disediakan untuk jualan 'Happy Hour ' sempena Jualan MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri Parlimen Indera Mahkota itu.
Menurutnya, pengguna berpeluang mendapatkan daging pada harga RM35 (harga asal RM39) dan ayam pada harga RM15 seekor dalam tempoh itu.
"Program yang julung kali diadakan ini melibatkan 22 usahawan termasuk syarikat pengeluar produk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!