20,000 ayam dijual RM5 seekor
TANJONG KARANG - Sebanyak 20,000 ekor ayam dijual pada harga RM5 seekor kepada penduduk pada Program Jualan Harga Patut (JHP) Syawal di Padang Astaka di sini, pada Sabtu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, sebanyak 10,000 ekor ayam dijual pada setiap hari bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang selama dua hari yang berakhir pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, orang ramai hanya dibenarkan membeli maksimum dua ekor ayam sahaja bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan harga murah.
"Selain ayam, turut dijual pada harga istimewa ialah daging lembu segar yang dijual pada harga RM30 sekilogram berbanding harga di pasaran RM40 sekilogram," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian JHP Syawal di Padang Astaka di sini pada Sabtu.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) turut menyertai JHP Syawal bagi menjual barangan keperluan kepada penduduk.
Jelas beliau, antara barangan keperluan dijual seperti minyak, beras, tepung dan gula pada harga RM2 sepeket.
Noh berkata, selain JHP Syawal, pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Parlimen Tanjong Karang bagi meringankan beban mereka membuat persiapan Aidilfitri.
Katanya, seramai 3,000 golongan asnaf di Parlimen itu juga dalam masa sama menerima wang tunai yang diagihkan selama dua hari bermula pada Sabtu.
"Saya percaya apabila kita memberi duit tunai, maka mereka bolehlah membeli barangan keperluan termasuk ayam dan daging sempena JHP Syawal ini," jelasnya.
Menurut Noh, langkah penjualan pada harga patut itu dilakukan bagi membantu meringankan beban rakyat dan dalam masa sama pemberian sumbangan diharap membantu golongan asnaf.
"Sebelum ini, sebanyak 4,000 ibu tunggal dan 1,000 anak yatim telah menerima sumbangan Aidilfitri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!