Ringgit susut beri manfaat positif kepada peniaga Johor: Onn Hafiz
JOHOR BAHRU - Penyusutan nilai tukaran ringgit Malaysia berbanding Dollar Singapura diakui antara faktor mengapa warga republik berkenaan semakin gemar untuk terus berbelanja di negeri ini.
Melihat dari sudut positif, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu bagaimanapun ada memberi impak baik terutama kepada para peniaga dan pengusaha kecil di bandar raya ini yang telah dua tahun bertahan akibat pandemik Covid-19.
"Kebiasaannya...disebabkan ia (Ringgit Malaysia) lebih murah kepada mereka, memang akan menarik untuk mereka terus berbelanja di sini (Johor) yang mana kuasa beli mereka juga menjadi lebih tinggi.
"Itu tidak mengapa yang penting untuk peniaga di Johor, dalam konteks itu (matawang rendah) ia adalah baik kepada mereka, kerana lebih ramai orang mahu berbelanja di Johor.
"Bagaimanapun, saya berpandangan isu infalasi dan kadar matawang ini hanyalah sementara sahaja, kita doakan supaya perkara ini tidak berpanjangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Jualan Semarak Syawal Peringkat Negeri Johor di Pasar Tani Jalan Datin Halimah di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan Dollar Singapura berada pada paras tinggi berbanding ringgit Malaysia selepas Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memutuskan untuk membenarkan peningkatan kadar pertukaran efektif nominal mata wang itu sebagai petunjuk pengetatan dasar monetarinya.
Pada Jumaat, RM ditutup dengan kadar RM3.14 berbanding 1 Dollar Singapura.
Sementara itu, mengulas mengenai lonjakan ekonomi Johor susulan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura sejak 1 April lalu, Onn Hafiz memaklumkan, berlaku perubahan ketara yang cukup positif dalam tempoh tersebut.
"Kalau kita tengok bandar Johor Bahru ini, dia punya kesesakan sebenarnya adalah tanda positif positif kepada ekonomi. Jadi kita mengalu-alukan sebab ramai peniaga di Johor yang sebelum ini terkesan akhirnya mendapat rezeki.
"Pembukaan (sempadan) juga kebetulan begitu hampir dengan hari raya. Jadi ramai orang Singapura datang ke negeri ini untuk berbelanja," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!