Berita Conte ke PSG palsu
SPEKULASI yang mengaitkan kedatangan pengendali Tottenham Hotspur, Antonio Conte ke Paris Saint-Germain sebenarnya hanyalah berita palsu.
Perkara itu ditegaskan oleh Conte sendiri yang menyifatkan berita berkenaan sebagai tidak berasas kerana dia masih memiliki kontrak selama 12 bulan bersama Spurs.
“Secara keseluruhannya, saya fikir bahawa ada kelab lain yang memerhatikan dan menyukai ‘tugas’ yang saya lakukan dengan Spurs.
Tetapi sejujurnya, saya tidak suka apabila ada pihak yang cuba mencipta sensasi dengan mengeluarkan berita-berita seperti ini kerana ia hanya akan mencipta masalah.
“Bagi saya, ia adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku kerana ia turut melibatkan banyak pihak termasuk pemain,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu, berita mengenai kedatangan Conte ke PSG, hangat diperkatakan Itali dan Perancis.
Bagaimanapun, berita berkenaan ternyata palsu apabila Conte mengesahkan dia masih memiliki kontrak selama 12 bulan bersama Spurs malah berazam melakukan yang terbaik untuk skuad The Lilywhites itu.
Sementara itu Conte berharap agar berita-berita palsu tidak akan mempengaruhi momentum pemain bagi menamatkan baki lima perlawanan liga musim ini selain mengintai peluang untuk ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
“Semua pemain perlu berikan fokus kepada baki lima perlawanan akan datang dan tidak terlalu memikirkan mengenai berita-berita palsu berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!