Pelajar Tingkatan Lima maut kemalangan

Mangsa kemalangan di Kilometer 259.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dihantar ke HTJ untuk tindakan lanjut.
Mangsa kemalangan di Kilometer 259.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dihantar ke HTJ untuk tindakan lanjut.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 259.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.44 pagi itu, mangsa Muhammad Samri Mohd Nor, 17, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya Al Haiman Hazim Hasrizal, 15, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Senawang menuju ke Rasah Jaya di sini.

"Kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Rasah Jaya.

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori di sebelah kiri jalan sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang besi di bahu kiri jalan," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, kemalangan mengakibatkan Muhammad Samri tercampak dan meninggal dunia manakala Al Haiman Hazim cedera di kepala.

Nanda memberitahu, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!