Semangat juang tinggi kunci kejayaan TFC
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.
Nafuzi berkata, setiap pemainnya telah memberikan komitmen terbaik di atas padang sehingga membolehkan mereka menempah tiket ke pusingan kedua Piala FA.
“Tahniah dan terima kasih kepada pemain yang berusaha keras dan memberikan komitmen penuh bermula seawal minit pertama sehingga akhir perlawanan.
“Kita sedar dengan kualiti yang ada pada pemain Negeri Sembilan, bukan mudah untuk kami mencipta kemenangan. Saya dapat saksikan mereka begitu tenang walaupun kerap diasak.
“Perasan berdebar saya tidak dapat dielak, setiap perlawanan ibarat telur di hujung tanduk, maknanya nasib bergantung kepada keputusan perlawanan dan rezeki, syukur kami menang,” katanya selepas perlawanan.
Dengan kemenangan itu, TFC dijadualkan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada perlawanan pusingan kedua Piala FA yang akan berlangsung Jun ini.
Sementara itu, pengendali Negeri Sembilan, K Devan berkata, faktor keletihan pemain dan kegagalan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol menjadi punca utama skuad Hobin Jang Hobin tumbang.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak berasa terkilan dengan kekalahan itu kerana lebih memberi tumpuan kepada saingan Liga Super.
“Kami memang tak menaruh harapan pada Piala FA kerana sedar ini pertandingan kalah mati. Terengganu pastinya tidak akan melepaskan peluang ini untuk menang di laman sendiri.
“Sebagai pendatang baharu dalam Liga Super, kita lebih fokus kepada pertandingan itu malah prestasi pasukan dalam liga juga sangat baik ketika ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!