Kes ceroboh e-mel perniagaan di Johor catat kerugian lebih RM800,000
JOHOR BAHRU - Kes pencerobohan e-mel perniagaan (BEC) terhadap individu atau syarikat di Johor mencatatkan kerugian sebanyak RM802,890 sejak 1 Januari hingga Rabu lepas.
Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, jumlah kerugian itu menunjukkan trend pengurangan berbanding kerugian bernilai RM3.43 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.
"Modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan menghantar e-mel menyerupai e-mel sebenar rakan niaga mangsa atau syarikat dan mengarahkan mereka membuat bayaran ke akaun bank lain dan bukan akaun bank biasa yang digunakan rakan niaga berkenaan.
"Sehubungan itu, orang ramai khususnya peniaga dan pemilik syarikat yang berkomunikasi dengan rakan niaga melalui e-mel diminta untuk lebih berhati-hati apabila menerima e-mel sedemikian," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Sementara itu, beliau berkata, kes penipuan dengan menyamar sebagai rakan atau individu tertentu melalui aplikasi Telegram untuk meminjam wang di negeri ini merekodkan jumlah kerugian sebanyak RM259,450 sejak 1 Januari hingga Rabu lepas.
Amran berkata, jumlah kerugian melibatkan 39 kes itu juga menyaksikan trend pengurangan berbanding jumlah kerugian sebanyak RM462,368 dengan 75 kes yang direkodkan dalam tempoh sama, tahun lepas.
"Modus operandi sindiket penyamaran ini pula adalah dengan menggodam akaun Telegram mangsa, seterusnya menghubungi senarai rakan dengan menggunakan gambar profil mangsa dan meminta bantuan wang.
"Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, orang ramai dinasihatkan untuk mengaktifkan penetapan pin keselamatan 'two step verification' akaun Telegram kerana melalui tetapan ini tahap keselamatan akaun Telegram dapat dipertingkatkan sekali gus mengelakkan penjenayah mengaktifkan akaun tersebut menggunakan peranti lain," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan untuk berhubung dengan CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559 atau 03-26101599 bagi mendapatkan maklumat lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!