Aroma kuih bakar tradisional pikat selera pelanggan

Khatijah (kanan) memasukkan aduan kuih bingka sebelum dibakar manakala anaknya, Suhairi Ahmad@ Abdul Hamid, 47, mengawal api bagi memastikan kuih masak sekata.
Khatijah (kanan) memasukkan aduan kuih bingka sebelum dibakar manakala anaknya, Suhairi Ahmad@ Abdul Hamid, 47, mengawal api bagi memastikan kuih masak sekata.
A
A
A

KUANTAN - Permintaan terhadap kuih bakar tradisional ketika Ramadan di daerah ini meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

Pengusaha kuih bakar tradisional, Khatijah Ali, 70, berkata, kuih tradisional seperti kuih bakar, akok dan bingka dijualnya mencecah sehingga 1,000 biji sehari.

"Setiap hari, saya mampu membuat jualan sebanyak 500 biji untuk kuih bakar, akok pula 400 biji dan ditambah dengan jualan kuih bingka menjadikannya sebanyak 1,000 biji.

"Namun, sekiranya hari cuti, jumlah tempahan akan bertambah disebabkan pelanggan semakin ramai mengunjungi kedainya," katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Balok Baru di sini baru- baru ini.

Khatijah lebih mesra dengan panggilan Che Ngah berkata, dia sudah 25 tahun berniaga kuih bakar tradisional.

Menurutnya, kaum kerabat diraja Pahang seperti Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan orang kenamaan Pahang juga antara pelanggan tetapnya.

"Seri Paduka Baginda dan kaum kerabatnya sering menempah kuih daripada saya dan antara juadah yang digemari Baginda ialah bingka," katanya.

Khatijah (kiri) bersama anaknya, Sudiana (kanan) menunjukkan tiga jenis kuih yang dibakar secara tradisional.
Khatijah (kiri) bersama anaknya, Sudiana (kanan) menunjukkan tiga jenis kuih yang dibakar secara tradisional.

Dia yang turut dibantu anaknya, Sudiana Ahmad@Abd Hamid, 37, berkata, kuih yang dibakar menggunakan cara tradisional lebih istimewa kerana penggunaan sabut kelapa dan kayu arang memberikan aroma yang lebih sedap apabila melekat pada kuih-kuih yang dibakar.

"Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan kaedah yang saya gunakan kerana mereka melihat sendiri cara saya membakarnya.

"Pelanggan kata, kuih yang saya hasilkan yang lemak, lembut dan manis sesuai dijadikan mampu membuka selera ketika berbuka," ujarnya yang belajar pembuatan kuih tradisional tiga beradik itu diwarisi daripada arwah ibunya, Siah Mat.

Seorang lagi peniaga kuih bakar tradisional, Mohd Zakaria Osman, 24, berkata, kuih bakar dijualnya mencecah lebih 300 biji sehari berbanding hari biasa sebanyak 150 biji.

Katanya, permintaan luar biasa itu diterima setiap kali bulan Ramadan dan mengakui tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan.

"Alhamdulillah, perniagaan yang diusahakan sejak empat tahun ini mendapat sambutan yang tinggi dalam kalangan pembeli.

"Ramai pelanggan yang datang bukan sahaja dari daerah ini, tetapi Johor Bahru, Terengganu serta Singapura sanggup memandu jauh bagi mendapatkan kuih bakar saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!