Zii Jia, Aaron-Wooi Yik mara ke final BAC 2022
JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan mara ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) apabila menewaskan pemain tidak ternama dari China, Weng Hong Yang 21-11, 21-19 dalam tempoh 27 minit.
Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia ketika ini, menguasai set pertama dengan mengasak hebat Hong Yang bagi mencatatkan kemenangan 21-11.
Namun pada set kedua, Zii Jia dilihat menerima tentangan sengit daripada Hong Yang dan menyaksikan kedua-dua pemain saling ‘berkejaran’ mata antara satu sama lain.
Bagaimanapun, Zii Jia menggunakan segala pengalaman yang dimilikinya untuk menewaskan Hong Yan 21-19.
Aksi final pada Ahad menyaksikan Zii Jia bakal berdepan pemain ranking kelapan dunia, Jonathan Christie yang menewaskan rakan senegara Chico Aura Dwi Wardoyo 21-9, 18-21, 21-16 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sementara itu, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke final BAC 2022 apabila menewaskan gandingan beregu senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21-13-21-15 dalam masa 33 minit pada aksi separuh akhir petang tadi.
Aaron-Wooi Yik yang juga merupakan gandingan rangking kesembilan dunia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mempamerkan aksi mantap pada set pertama bagi mencatatkan kemenangan 21-13.
Set kedua menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin yang juga merupakan gandingan ranking ke-16 dunia dan juara Terbuka Jerman 2022, dilihat mula bangkit dengan memberikan tentangan kepada Aaron-Wooi Yik.
Bagaimanapun, pengalaman nyata memisahkan kedua-dua beregu berkenaan apabila Aaron-Wooi Yik berjaya ‘menyerap’ asakan-asakan daripada Sze Fei-Nur Izzuddin untuk menang 21-15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!