Warga kota masih banjiri pusat beli belah, saat akhir persiapan

Warga kota mengambil peluang cuti hujung minggu membeli belah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi ketika tinjauan di sebuah pusat membeli belah, pada Sabtu. - Foto Bernama
Warga kota mengambil peluang cuti hujung minggu membeli belah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi ketika tinjauan di sebuah pusat membeli belah, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun ramai warga kota telah memulakan perjalanan balik kampung bagi menyambut Aidilfitri, namun tidak kurang juga yang masih berada di ibu kota dan memilih saat-saat akhir untuk berbelanja bagi persiapan perayaan itu.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat beli-belah yang sering menjadi tumpuan setiap kali menjelang hari raya mendapati, ia masih dipenuhi orang ramai pada petang ini dan dijangka bertambah sesak selepas waktu berbuka.

Pembantu pengurus Bath and Body Works di pusat beli-belah Sogo Amy Ariffin, 25, berkata kehadiran pelanggan yang bertali arus sepanjang pembukaan premis itu pada bulan puasa ini, menjadikan suasana di lokasi itu meriah.

"Pelanggan kat sini memang suka saat terakhir untuk membeli-belah. Terutamanya Jalan Tun Abdul Rahman (TAR) kan, kerana ada banyak promosi saat akhir.

"Kita memang setiap kali raya akan ada promosi. Mereka banyak beli untuk hadiah raya dan hantaran,” katanya kepada Bernama, pada Sabtu.

Senada dengan Amy, seorang pekerja di kedai baju Melayu di bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Muhd Nasrat Mahir, 17, berkata pelanggan mula ramai selepas 4 petang sehingga 8 malam.

"Setiap hari ramai pelanggan, bukan sahaja saat-saat akhir nak raya ni, sebelum ini pun ramai pembeli,” katanya.

Sementara itu di Pasar Malam Jalan TAR, seorang pelanggan Auni Saffiah, 18, berkata dia mengambil peluang tiga hari sebelum pulang ke Kelantan untuk datang ke pusat beli-belah itu bagi membeli kelengkapan raya, dengan harapan memperolehi harga murah.

"Alhamdulillah persiapan raya kali ni memang meriah berbanding dua tahun sebelum ini dan hari ini saya bersama keluarga, meluangkan masa untuk mendapatkan beberapa keperluan raya seperti tudung, kasut dan beberapa barangan lain lagi.

"Setakat ini, memang banyak kedai menawarkan harga yang murah dengan bermacam-macam promosi berbaloi dan potongan yang ditawarkan pula hampir 50 peratus,” katanya.

Peniaga baju kurung di Pasar Malam Jalan TAR Kamarudin Husin, 55, pula berkata dia mula mengadakan promosi dan potongan harga pakaiannya, hari ini.

"Sepanjang berniaga di Pasar Malam Jalan TAR awal Ramadan ini, sambutan pembeli memang memberangsangkan dan dengan tinggal tiga hari lagi sebelum raya ini, pihak kami sedang menjalankan beberapa promosi menarik bagi melicinkan jualan.

"Saya memang menjangkakan lebih ramai pengunjung yang akan datang pada saat akhir ini, kerana mungkin mereka dah sedia maklum para peniaga akan mengadakan pelbagai promosi dan potongan akhir bulan ini,” katanya kepada Bernama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!