Lebuh raya utama terus sesak
SHAH ALAM - Lebuh raya utama di seluruh negara terus sesak berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui Twitternya mengemaskini setakat jam 6 petang Sabtu, aliran trafik ke Pantai Timur paling teruk mengalami kesesakan.
Kesesakan sepanjang 12.7 kilometer bermula laluan Gombak dari Kilometer (KM) 24.5 sehingga KM37.2 ke Genting Sempah.
Selain itu, turut dilaporkan kesesakan 1.5km dari KM39.4 sehingga KM40.9 laluan Genting Sempah menghala ke Bukit Tinggi dan sesak sejauh 2.7km dari KM47.8 ke KM50.5 Bukit Tinggi ke Lentang.
Bagaimanapun, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dilaporkan lancar di kedua-dua hala manakala di utara pula trafik perlahan dari Slim River ke Bidor, Tapah ke Gopeng dan Bandar Baharu ke Jawi.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!