Duit raya: Pupuk budaya dengan etika

Gambar hiasan. - Foto 123RF. (Gambar kecil: Nurhayati)
Gambar hiasan. - Foto 123RF. (Gambar kecil: Nurhayati)
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya pemberian duit raya bukanlah asing bagi masyarakat. Adat yang diadaptasi sebagai sebahagian budaya masyarakat Malaysia ini pada dasarnya adalah baik dan mencambahkan kemeriahan hari raya terutamanya kepada kanak-kanak yang ternanti-nanti paket duit raya.

Ketua Pegawai Eksekutif #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, pada dasarnya duit raya merupakan sebahagian penzahiran kegembiraan Eid yang disyiarkan oleh agama sepertimana yang dinyatakan Ibnu Hajar Al Asqalani, dalam kitabnya Fath Al Bari fi Syarh Shahih Al Bukhari.

"Budaya turun temurun ini membawa bersamanya pelbagai nilai-nilai murni seperti bersedekah, berkongsi, merai kemenangan Ramadan, saguhati kerana berjaya melalui Ramadan dengan segala ujiannya dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian menjawab gesaan sesetengah pihak yang meminta #RasuahBusters menjalankan kempen 'tiada duit raya' pada tahun ini bagi mendidik masyarakat untuk menolak budaya 'pemberian'.

Bagaimanapun katanya, kegembiraan mengamalkan budaya ini dalam masa yang sama tidak harus melekakan daripada mengawal risiko negatif yang berpotensi wujud dalam jangka panjang jika ia tidak diselia dengan jujur dan berkesan.

Jelasnya, mentaliti materialistik adalah di antara aspek yang harus diteliti.

"Aidilfitri bukanlah tempoh lubuk wang dan harta dicambahkan untuk tujuan mendapatkan sesuatu yang diimpikan oleh mana-mana pihak.

"Menjalin silaturahim, memperbaiki hubungan, memperkenal dan memperkukuhkan ikatan hati sesama ahli keluarga serta sahabat handai adalah lebih bermakna dijadikan pengisian kejayaan Ramadan," katanya.

Tambahnya, pemberian upah atas kejayaan menyempurnakan Ramadan harus disuntik dengan didikan terhadap konsep dan konteks yang jelas kepada anak-anak agar minda mereka tidak dikaburi bahawa setiap tanggungjawab yang harus dilakukan memerlukan ganjaran di sebaliknya.

"Persepsi yang tegas terhadap konsep dan konteks hadiah, upah dan sedekah inilah yang menjadi asas untuk generasi kita dididik untuk tahu membezakan baik dan buruk serta berani untuk menolak pemberian yang berunsurkan rasuah di masa akan datang.

"Memberi seikhlas dan semampunya serta menerima seadanya juga adalah tuntutan yang wajar dititik beratkan.

"Janganlah sampai budaya ini menjadi tekanan kepada sesetengah pihak yang tidak mampu menyediakan 'kewajipan' beraya ini sehingga terbeban dan mendatangkan kesusahan terutama ketika kebanyakan kita baru saja berhadapan impak ekonomi akibat ujian Covid-19 yang melanda negara," katanya.

Justeru tegasnya, dalam membangun sistem nilai hari yang mulia ini, anak-anak harus dididik untuk tidak meminta-minta, mengharap 'angpow' dan membanding-bandingkan pula nilainya sehingga mendatangkan rasa tidak senang sesama sendiri.

"Bagaikan rebung yang mudah dilentur, ini adalah masa terbaik untuk ibu bapa mencorak anak-anak dengan nilai syukur, kerendahan hati, ikhlas, ihsan, saling berkongsi dan membantu mereka yang kurang bernasib baik, katanya.

Tegasnya, etika asas ini jika dikesampingkan akan terus tenggelam dengan sendirinya akibat hentaman budaya hedonism dan materialistism yang sedang mempengaruhi minda generasi kita untuk bertindak berdasarkan kepentingan dan kehendak diri sendiri.

"Prinsip pemberian tulus duit raya juga tidak harus dicemarkan dengan dijadikan ruang mengambil kesempatan untuk 'membeli jiwa' pihak tertentu bagi mendapatkan suatu habuan bersifat 'ada udang di sebalik batu’.

"Didikan integriti, jujur dan amanah sepanjang Ramadan adalah landasan untuk terbinanya daya tahan yang tinggi untuk kita menolak sebarang bentuk rasuah yang berkemungkinan berevolusi menjadi duit raya," katanya.

Tambahnya, setiap jiwa yang fitrah harus tahu membezakan antara duit raya dan duit rasuah lantas segera menutup potensi budaya yang tulus ini daripada dinodai dengan perlakuan yang dilaknat dan terkutuk itu.

"Maknai kemenangan kali ini bukan saja terhadap pandemik yang meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia, tetapi juga kejayaan kita kembali kepada fitrah keinsanan yang dibimbing deria kesedaran (sense of awareness) yang tinggi untuk tidak tunduk kepada sebarang bentuk rasuah yang membawa kemudaratan dunia dan akhirat.

"Usah kotori kemenangan Ramadan dengan habuan duniawi. Manifestasikan raya kita kali ini dengan kegembiraan, disulam jiwa penuh dengan keinsafan dan ketaatan," tegasnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!