Pelajar lepasan SPM maut motor bertembung kereta
BALIK PULAU - Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Teluk Kumbar, di sini, pagi tadi.
Muhammad Izzat Amirul Jumati, 18, dari Taman Pondok Upeh maut di tempat kejadian kerana parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, dalam kejadian pada jam 8.50 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenama Benelli sedang dalam perjalanan dari Balik Pulau ke Bayan Lepas.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa tiba di selekoh dan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan. Mangsa kemudiannya dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati, ia merupakan jalan lurus dan dua hala. Keadaan permukaan jalan pula basah selepas hujan pagi tadi," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, bedah siasat di Hospital Balik Pulau pada jam 12.10 tengah hari tadi mendapati mangsa meninggal dunia kerana kecederaan parah di bahagian kepala.
"Mangsa mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan juga sah tempoh. Sementara itu, pemandu kereta jenis Proton Pesona yang berusia 49 tahun tidak mengalami kecederaan. Lelaki itu juga mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaannya juga sah tempoh.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!