Yayasan Sultan Kelantan bantu mangsa kebakaran

Tuan Nah Tuan Mat, 69, (kiri) menerima bantuan disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Mohammad (tengah) di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu pada Sabtu.
Tuan Nah Tuan Mat, 69, (kiri) menerima bantuan disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Mohammad (tengah) di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Nasib 27 individu daripada 10 keluarga mangsa kebakaran di Berek 12 di sini terbela apabila Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim dan Majlis Orang-orang Besar di Raja Kelantan mengagihkan sumbangan wang tunai antara RM500 hingga RM1,500 setiap mangsa pada Sabtu.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Mohammad kepada mangsa-mangsa yang terlibat di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu.

Nazran berkata, lima keluarga yang hilang tempat tinggal kerana kediaman mereka musnah 100 peratus dalam kejadian itu menerima wang tunai RM1,500 setiap mangsa, manakala lima lagi keluarga yang kediaman mereka musnah hampir 20 peratus menerima RM500 setiap keluarga.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban dihadapi mereka selepas persiapan Aidilfitri turut musnah dalam kebakaran itu.

“Kami juga memberikan kuih raya untuk mereka sebagai juadah menyambut perayaan pada Selasa ini,” katanya semasa penyampaian sumbangan tersebut pada Sabtu.

Sementara itu, mangsa juga seorang ibu tunggal, Tuan Nah Tuan Mat, 69, berkata, dia kini menumpang rumah kakaknya di Sabak, Pengkalan Chepa bersama dua anak lelakinya berusia 22 dan 24 tahun.

“Rumah kami hangus 100 peratus termasuk baju raya kami tiga beranak musnah dalam kebakaran itu. Kini kami tinggal sehelai sepinggang.

“Sambutan raya tahun ini amat menyedihkan dengan keadaan kami yang hilang tempat tinggal dan lebih-lebih lagi suami saya baharu meninggal dunia seminggu sebelum Ramadan baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Halimatul Saddiah Rasid, 32, bersyukur rumahnya hanya melibatkan kerosakan pada atap di bahagian dapur dan masih memiliki tempat tinggal.

“Raya kami ala kadar sahaja kerana bahagian dapur yang rosak belum dibaiki dan setakat ini makanan masih dibeli kerana peralatan memasak rosak akibat terkena air ketika bomba memadam kebakaran,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu dipercayai akibat mercun bola yang dibaling dan meletup di atas atap rumah serta masuk ke bahagian bilik tingkat atas rumah salah seorang mangsa.

Usaha memadam kebakaran oleh pasukan penyelamat turut berdepan kesukaran kerana didakwa berlaku tekanan air yang rendah di kawasan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!