Seorang maut, sembilan cedera kemalangan empat kenderaan

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di Jalan Batu Balik, Pekan yang tersepit.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di Jalan Batu Balik, Pekan yang tersepit.
A
A
A

PEKAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu maut manakala sembilan yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan tiga kereta di Kilometer 64 Jalan Kuantan - Segamat di sini pada Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang itu, tujuh lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pekan,Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kenderaan terlibat ialah sebuah lori lima tan, kereta Proton Iswara, Perodua Viva dan Proton Waja.

Menurutnya, mangsa yang maut ialah pemandu kereta jenis Proton Waja, Mohd Sofri Saad, 50, beralamat di Kampung Sungai Ramal Luar, Kajang Selangor.

"Tiga lagi penumpang dipercayai isterinya, Wan Hafsah Wan Majid,41, bersama dua anak mereka, Nur Syaza Zahirah,15, Muhammad Nur Firdaus,10 hanya cedera ringan.

"Pemandu lori, Romlan Bidin,59, dan kelindannya, Elham Hidayat Amen,24 tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Zaidi berkata, pemandu kereta jenis Perodua Viva yang juga seorang anggota polis,Nazrin Mohamad,32 tidak mengalami kecederaan manakala penumpangnya, Nor Dyana Nor Shamsuddin,29,Nur Iman Hanisa Nazrin, 6 dan Nur Ayra Safiyya Nazrin,4 cedera ringan.

"Empat penumpang kereta jenis Proton Iswara turut mengalami cedera ringan manakala pemandu dan tiga lagi penumpang selamat," katanya.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Waja dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke arah Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori dan dua kereta lain.

"Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit dalam keretanya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dan Pekan ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, anggota mendapati salah seorang pemandu tersepit dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!