Aidilfitri: Aliran trafik di beberapa lebuh raya perlahan
KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya dan jalan utama menuju ke utara, selatan dan Pantai Timur bergerak perlahan berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 9.30 malam ini mendapati aliran trafik tinggi dan perlahan sejauh 6.3 kilometer (km) di Gombak menuju ke Genting Sempah, Pahang.
Selain itu, aliran trafik juga perlahan sejauh 5.9 km dari Genting Sempah ke arah Bukit Tinggi.
Sementara itu, di utara, PLUS melaporkan aliran trafik juga perlahan sejauh 10 km dari Gopeng ke Simpang Pulai, Perak namun lancar di jalan persekutuan.
Di Negeri Sembilan, aliran trafik keluar masuk ke Seremban sejak 6 petang hingga 8 malam ini terkawal dan berjalan lancar.
Tinjauan trafik turut mendapati tiada kesesakan dan pertambahan kenderaan luar biasa dari kedua-dua arah di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Seremban.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!