Penjawat awam harus jadi pemudah cara kepada ekonomi negara
KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berharap penjawat awam dapat berfungsi sebagai pemudah cara kepada kitaran roda ekonomi negara yang semakin deras dan ligat susulan kedudukan negara kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik.
Beliau berkata, amalan nilai S.W.I.F.T iaitu "kepantasan, pengetahuan kelas antarabangsa, memberikan inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi” mesti terus dilaksanakan dalam perancangan strategi dan pengoperasian tugasan di organisasi atau jabatan masing-masing.
"Malaysia kini berada di trajektori yang tepat untuk melangkah dengan lebih pantas dan megah di pentas dunia setelah lebih dua tahun bergelumang dengan pandemik Covid-19.
Ekonomi negara telah mencatatkan peningkatan yang positif sejak pembukaan semula ekonomi secara berperingkat yang dilaksanakan kerajaan, katanya dalam video yang dimuat naik di akaun Facebook beliau malam ini sempena sambutan Hari Pekerja esok yang bertemakan "Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara”.
Dalam masa yang sama Mohd Zuki turut mengajak seluruh penjawat awam untuk terus kekal menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing.
"Terus pastikan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan kerajaan kekal dipatuhi sepanjang masa,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!