Iftar Ala Madinah Karangkraf tarik 15,000 pengunjung
SHAH ALAM - Penganjuran Program Iftar Ala Madinah oleh Kumpulan Karangkraf bersempena bulan Ramadan akhirnya melabuhkan tirai pada Jumaat setelah 20 hari diadakan bermula 4 April lalu.
Ketua projek, Firdaus Hussamuddin berkata, dianggarkan seramai 15,000 pengunjung telah memeriahkan program tersebut sepanjang ia dilaksanakan.
Menurut beliau, penganjuran acara itu juga dilihat berjaya mencapai objektifnya untuk menarik kunjungan pelbagai lapisan masyarakat selain membantu golongan memerlukan.
“Pengunjung yang datang itu daripada pelbagai golongan, maknanya ada keluarga, bujang, pelajar dan termasuk kumpulan rakan sekerja.
“Selain itu, ia dilaksanakan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan. Jadi program ini saya lihat dapat membantu menjimatkan wang belanja untuk makanan berbuka kepada keperluan lain,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad di Kompleks Karangkraf, di sini.
Hari terakhir Iftar Ala Madinah @Karangkraf turut diserikan dengan persembahan gamelan daripada kumpulan muzik tradisional, Gamelan Putra Warisan dari Gombak, Selangor.
Dalam pada itu, Firdaus turut melahirkan penghargaan kepada semua pengunjung yang sudi hadir untuk memeriahkan acara berbuka tersebut.
“Kita berharap program iftar ini dapat kita adakan lagi pada tahun hadapan. Di samping itu, kita juga mengalu-alukan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan syarikat untuk bersama-sama menjayakan program ini pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, hadir sama pada hari terakhir Iftar Ala Madinah ialah pensyarah dari Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat yang menyifatkan ia sebagai satu pengalaman baharu buat dirinya.
Menurut Chin Huat, beliau juga amat tertarik dengan pelaksanaan susun atur berbuka dalam program tersebut yang menurutnya sangat menekankan aspek kesamarataan antara manusia.
“Biasa kalau kita hadir acara berbuka, akan ada meja untuk dif kehormat. Tapi di sini saya nampak semua sama rata. Jadi berdiri sama tinggi duduk sama rendah.
“Dalam keadaan seperti ini kita boleh mengingatkan diri bahawa kita semua adalah sama.
“Selain itu, program ini juga dilihat dapat memberikan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa merendahkan maruah mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!