City tempuh laluan sukar sebelum benam Leeds

Pemain City meraikan jaringan Nathan Ake (kanan). - Foto Getty Images
Pemain City meraikan jaringan Nathan Ake (kanan). - Foto Getty Images
A
A
A

BIARPUN meraih kemenangan besar, 4-0 ke atas Leeds United di Elland Road pada Ahad, namun pengendali Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan skuad kendaliannya itu menempuh perlawanan cukup sukar, terutamanya pada separuh masa pertama.

Menurut Guardiola, City dipaksa bekerja keras sepanjang separuh masa pertama apabila Leeds dilihat mengasak bertubi-tubi bagi meledak jaringan.

“Kami sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku dan kami sememangnya ‘sengsara’ buat seketika pada separuh masa pertama bagi mengekang asakan mereka.

“Bagaimanapun, kami berjaya menguasai semula perlawanan dan menjaringkan gol..mungkin kami boleh jaringkan lebih banyak lagi gol.

“Apa pun, secara keseluruhannya, kemenangan ini dilihat sebagai satu keputusan yang hebat bagi kami setelah diasak hebat pada separuh masa pertama,” katanya.

Pada aksi awal pagi Sabtu itu, City membuka jaringan menerusi Rodri, pada minit ke-13, namun jaringan berkenaan dilihat tidak melemahkan semangat Leeds United untuk bangkit mengatur asakan ke pintu gol pelawat bagi menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dilakukan kedua-dua pasukan hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, giliran City pula mampamerkan kebangkitan dengan meledak tiga gol menerusi Nathan Ake pada minit ke-54, Gabriel Jesus (min-78) dan pemain gantian Fernandinho melengkapkan kemenangan dengan gol keempat pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan City merampas semula kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Liverpool dengan meraih 83 mata; satu mata lebih daripada The Reds.

Mengulas mengenai kemenangan berkenaan, Guardiola berkata, kesebelasan Leeds telah mempamerkan aksi terbaik pada separuh masa pertama, namun kehilangan momentum berkenaan pada separuh masa kedua.

Justeru menurutnya, kesempatan itu tidak dipersia-siakan City untuk mula menyusun permainan dan meledak jaringan bagi memastikan kemenangan.

“Bagi saya, mereka (Leeds United) telah beraksi dengan baik dan jentera serangan mereka dilihat cukup pantas di bahagian depan.

“Bagaimanapun dalam masa sama, benteng pertahanan kami juga beraksi dengan baik bagi mengekang asakan-asakan mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!