Marsch tetap puas hati walau kalah besar

Marsch - Foto news images
Marsch - Foto news images
A
A
A

PENGENDALI Leeds United, Jesse Marsch tetap berpuas hati dengan aksi dipamerkan kesebelasan pemain walaupun kalah, 0-4 kepada Manchester City pada Ahad.

Menurut Marsch, kesemua pemain memberikan aksi terbaik masing-masing untuk memberikan saingan sengit selain tidak memberikan laluan mudah kepada City di sepanjang perlawanan.

“Kami tidak perasan yang kami telah tewas 0-4 pada perlawanan kali ini kerana kesebelasan pemain beraksi dengan baik, penuh keyakinan dan bersemangat terutamanya pada separuh masa pertama.

“Secara keseluruhannya, mungkin boleh dikatakan keputusan perlawanan memang mendukacitakan, tetapi aksi yang dipersembahkan pemain jauh lebih baik,” katanya.

Kekalahan Leeds United itu menyaksikan pasukan berkenaan kini berada pada tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya 34 mata setelah mengharungi 34 perlawanan.

Kedudukan berkenaan nyata cukup merbahaya kerana mereka boleh dipintas pada bila-bila masa oleh tiga lagi pasukan yang berada di bawah mereka pada baki empat perlawanan akan datang.

Mengulas mengenai aksi berdepan City, Marsch berkata, pihaknya memang kecewa dengan kekalahan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, masih ada empat perlawanan yang perlu diharungi sebelum saingan EPL musim ini ditutup dengan rasmi.

“Kami ada momentum dan mengawal banyak pergerakan. Namun ia sesuatu yang mengecewakan apabila tewas dengan jaringan besar seperti ini.

“Malah, reaksi yang ditunjukkan oleh penyokong selepas tamat perlawanan turut membuktikan betapa buruknya aksi yang dipamerkan pemain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!