Bapa anak OKU perlu mesin jahit
KUANTAN - Nasib seorang ketua keluarga di sebuah perumahan awam kos rendah (PAKR) Pandan di sini, ibarat jatuh ditimpa tangga apabila mesin jahit yang menjadi punca pendapatan rosak akibat ditenggalami banjir besar lima bulan lalu.
Syd Mohd Radzee Syd Abd Rahim, 44, mengakui tidak dapat mengambil upah menjahit pakaian sekali gus hilang punca pendapatan.
Dia terpaksa berkerja dengan orang lain sebagai tukang jahit bagi menampung kehidupan keluarganya terutamanya anaknya menghidap penyakit caraberal palsy sejak kecil manakala ibunya diserang angin ahmar pada Disember tahun lalu.
"Saya berkerja di sebuah kedai jahit berhampiran dan beroleh pendapatan putara sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.
"Namun pendapatan diterima kini tidak cukup untuk menampung kos membaik pulih tiga buah mesin jahit milik yang baharu saja selesai dilunaskan bayaran pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) dua bulan sebelum kejadian.
“Saya anggarkan minimum RM500 bagi setiap mesin jahit, itu belum kira tahap kerosakan sebab mesin ini ada papan litar berkomputer, jadi (kos) mungkin lebih daripada RM500,” katanya ketika ditemui di rumahya di PAKR Pandan pada Ahad.
Syd Mohd Radzee memaklumkan anak sulungnya itu, Syd Najwan Amir, 16, menghidap penyakit caraberal palsy sejak lahir kesan dari komplikasi ketika melahirkannya.
Katanya, isteri,Azizah Husin, 53, mengalami kesulitan saat melahirkannya sehingga doktor terpaksa menggunakan forseps untuk memgeluarkannya.
"Forseps terbabit terkena kepala anak saya menyebabakan kecederaan saraf utama.
“Pihak hospital telah bertanggungjawab sepenuhnya dengan keadaan anak saya dan sehingga kini masih mengikuti rapat perkembangan kesihatannya,” katanya.
Syd Mohd Radzee, terpaksa bekerja sendiri di rumah kerana anaknya itu memerlukan lebih banyak perhatian.
"Sejak kecil sampai sekarang, memang sayalah yang banyak melayan kerenah dia. Sebelum keluar bekerja, saya mandikan dia dan bila petang pun sama, memang kena beri perhatian lebih kepadanya.
"Sebab itulah saya harap sangat ada pihak sudi membantu saya dengan memberikan sumbangan mesin jahit baharu bagi memudahkan saya meneruskan kerja menjahit dan pada masa sama, boleh menumpukan perhatian terhadap anak serta ibu yang diserang angin ahmar," katanya.
Dia turut bersyukur apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberi bantuan bagi kategori orang kurang upaya (OKU) terlantar untuk Syd Najwan Amir, sekali gus dapat meringankan beban mereka sekeluarga.
"Dengan elaun itulah saya gunakan untuk kos ulang alik ke hospital, hantar dia ke pusat dalam komuniti (PDK) dan beli susu serta lampin pakai buang selain pendapatan bulanan yang saya terima.
"Malah, pusat zakat juga ada bagi sumbangan bulanan untuk mak, jadi bolehlah bantu kami sekeluarga dari segi kewangan," katanya.
Mereka yang berminat untuk membantu membaiki atau menyumbangkan mesin jahit kepada Syd Mohd Radzee boleh menghubunginya di talian 013-811 9714 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!