Ops Khas Motosikal: JPJ Pahang keluar 261 saman

Pegawai penguat kuasa JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal di salah satu lokasi Ops Khas Motosikal sempena Penguatkuasaan Ops HRA 2022 di negeri ini pada Sabtu.- Foto JPJ Pahang
Pegawai penguat kuasa JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal di salah satu lokasi Ops Khas Motosikal sempena Penguatkuasaan Ops HRA 2022 di negeri ini pada Sabtu.- Foto JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 261 saman atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal sempena Penguatkuasaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di negeri ini pada Sabtu.

Kesalahan berkaitan lesen memandu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 88 saman diikuti cukai jalan tamat tempoh sebanyak 57 saman.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, dalam operasi khas itu, sebanyak 501 kenderaan diperiksa dan 138 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sebuah motosikal disita untuk siasatan dan tindakan lanjut atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain selain terdapat gangguan pada nombor casis dan enjin.

"Operasi khas motosikal sempena Penguatkuasaan Ops HRA 2022 ini diadakan secara bersepadu bersama pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di enam lokasi membabitkan enam daerah di negeri ini.

"Tujuan pelaksanaan operasi ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya penunggang dan pembonceng motosikal terhadap kepentingan keselamatan di jalan raya.

"Ia selaras dengan tema kempen Opd HRA itu sendiri 'Pandu Cermat dan Selamat Sampai ke Destinasi'," katanya.

Kamarul Iskandar berkata, lokasi ops motosikal itu dijalankan di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan utama motosikal juga penyumbang tertinggi statistik kemalangan dan kematian jalan raya di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!