Protokol baharu ujian pengesanan Covid-19 bagi pengembara
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pelaksanaan protokol baharu pengujian Covid-19 ke atas pengembara warganegara dan bukan warganegara yang tiba di Malaysia bermula pada Ahad.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tiga kumpulan pengembara tidak perlu menjalani kuarantin ialah individu 18 tahun ke atas lengkap vaksinasi; individu 17 berusia tahun dan individu mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia.
Bagaimanapun Khairy berkata, pengembara berusia 18 tahun dan ke atas dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksinasi perlu melakukan ujian prapelepasan menggunakan RT-PCR atau RTK-Ag profesional dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.
“Selain itu, kumpulan ini juga perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal atau virtual.
“Sekiranya keputusan pengujian Covid-19 adalah negatif pengembara perlu menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah, mereka dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan MMC sama ada secara fizikal atau virtual pada hari kelima.
“Pelepasan kuarantin pada hari kelima boleh diberikan jika keputusan ujian RT-PCR hari keempat atau RTK-Antigen hari kelima adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Khairy berkata, sekiranya keputusan pengujian Covid-19 adalah positif pada mana-mana situasi, pengembara akan diuruskan mengikut pengurusan kes positif sedia ada.
Sementara itu, beliau berkata, mana-mana pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara akan diarahkan menjalani ujian saringan Covd-19 menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan sama ada secara fizikal atau virtual.
“Semua pengembara masih perlu mengemukakan Traveller’s Card yang dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di PMA,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!