Bintang Hollywood Angelina Jolie lawat Ukraine di tengah-tengah perang
LVIV - Pelakon Hollywood Angelina Jolie tiba di Ukraine ketika perang masih berterusan di rantau itu, menurut imej yang dikongsi di media sosial pada Ahad.
Jolie, duta khas Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian, agensi PBB yang diberi mandat untuk membantu dan melindungi pelarian dilihat melawat bandar Lviv.
Beliau melawat sebuah kafe di bandar itu dan bergambar bersama mereka yang hadir di sana, lapor Agensi Anadolu.
Penasihat Kementerian Dalam Negeri Ukraine Anton Gerashchenko, turut berkongsi gambar dan video di Twitter dan berkata: "Angelina Jolie di Lviv. Beliau melawat Ukraine dengan misi kemanusiaan sebagai Duta Khas PBB untuk Pelarian."
Jolie, yang sedang berjalan di jalan-jalan bandar dilihat berlari ke tempat selamat apabila kedengaran siren amaran pengeboman dan serbuan udara dibunyikan.
Menurut anggaran PBB, sekurang-kurangnya 2,899 orang awam terbunuh dan 3,235 lagi cedera di Ukraine sejak perang dengan Rusia tercetus pada 24 Februari.
Jumlah sebenar dikhuatiri lebih tinggi.
Lebih 5.4 juta orang melarikan diri ke negara lain, dengan kira-kira 7.7 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut data dari agensi pelarian PBB. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!