Kerajaan rangka mekanisme kurang kebergantungan pekerja asing
SHAH ALAM - Kerajaan akan merangka satu mekanisme komprehensif bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dan seterusnya memberikan keutamaan terhadap pekerja tempatan di dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembukaan semula sempadan memberi ruang kepada pengambilan semula tenaga kerja asing dalam sektor tertentu yang diperlukan majikan, terutamanya dalam sektor 3D atau dirty, dangerous dan difficult.
“Namun begitu, tindakan ini bukan berhasrat untuk membelakangkan pekerja tempatan. Satu mekanisme komprehensif akan dirangka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing supaya warga tempatan diberi keutamaan terlebih dahulu
“Kementerian Sumber Manusia telah diminta supaya meneliti dan mengkaji aspek ini agar pekerja tempatan mendapat manfaat dengan menambah baik kadar gaji, pakej pekerjaan dan kemajuan kerjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan khasnya sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!