Pejuang Sabah dedah ada parti politik hasrat jalin kerjasama
KOTA KINABALU - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Sabah mendedahkan sebuah parti nasional berhasrat menjalin kerjasama dengan parti itu dalam satu pertemuan diadakan baru- baru ini.
Ketua Penerangan Pejuang Sabah, Winston Hassnal berkata, Pejuang sedia menjalinkan kerjasama dengan parti-parti politik sedia ada di negara ini.
"Baru-baru ini sebuah parti politik nasional telah bertemu dengan Pejuang dan berhasrat untuk menjalinkan kerjasama.
"Kita bersikap terbuka dengan mana-mana parti politik yang ingin bekerjasama, kecuali parti-parti politik yang sarat dengan kluster kleptokrasi dan kluster mahkamah," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.
Menurutnya, selepas Pejuang memberi bayangan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini, beberapa pemimpin di negeri ini memberi kenyataan dan ulasan kepada Pejuang.
"Agaknya, mereka sudah merasai bahang dan aura kemunculan Pejuang di Sabah.
"Mereka tidak ada alasan untuk menolak suasana yang menyelubungi semangat dan sokongan luar biasa rakyat terhadap Pejuang Sabah," katanya.
Beliau memberitahu, setakat ini Pejuang Sabah mencatatkan bilangan ahli tertinggi menduduki tangga ketiga di seluruh negara.
"Pejuang yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi terbukti jelas menjadi pilihan rakyat Sabah.
"Oleh demikian, sebaik pelancaran Pejuang Sabah direalisasikan pada 22 Mei depan, parti itu akan lebih fokus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada bila-bila masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!