Tekong cedera terkena tembakan di perairan Kinabatangan

Hazani Ghazali. - Foto ihsan Esscom
Hazani Ghazali. - Foto ihsan Esscom
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang tekong cedera selepas bot tunda yang dikendalikannya ditembak oleh sekumpulan empat lelaki dalam kejadian di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, malam tadi.

Memetik laporan Berita Harian, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, bot tunda Mantran 2 yang membawa 13 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia, dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah bot hitam dinaiki empat individu dengan dua daripada mereka memiliki raifal dipercayai M16 menghampiri bot tunda terbabit lalu melepaskan tembakan secara rambang sebelum beredar.

Akibat tembakan itu, tekong bot tunda warga Indonesia cedera di bahagian paha selepas terkena tembakan manakala semua kru tidak mengalami sebarang kecederaan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, tekong lelaki berusia 40-an itu kemudian dibawa ke Jeti Awam Tambisan, Lahad Datu sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

“Tekong bot tunda cedera di bahagian paha namun keadaannya stabil dan kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

“Semua kru dan bot tunda kini diiring ke Jati Marin Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Hazani berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian sama ada cubaan merompak atau culik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!