Lelaki direman tipu wang pertandingan memancing
JASIN - Gara-gara dipercayai tidak memberikan wang kemenangan pertandingan memancing, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis di Pantai Siring, di sini, semalam.
Dalam kejadian lebih kurang jam 4.30 petang itu, lelaki yang juga Pengerusi Majlis Rantaian Ilmu Negeri Melaka (MRIM) ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes penipuan wang kemenangan tersebut yang diadakan dalam Dun Serkam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, individu itu ditahan di lokasi pertandingan selepas enam peserta membuat laporan polis kerana kegagalan penganjur membayar wang hadiah seperti dijanjikan.
Menurutnya, suspek terbabit telah menetapkan bahawa satu batang joran untuk menyertai pertandingan dikenakan bayaran RM100 dan hadiah tempat pertama berupa ganjaran bernilai RM20,000 dan berperingkat sehingga tempat kelima puluh dengan jumlah keseluruhan RM41,500.
"Berdasarkan rakaman percakapan yang dilakukan, individu itu telah merancang pertandingan tersebut bagi mendapatkan dana untuk persatuannya.
"Namun pelbagai alasan diberikan atas kegagalan menyediakan wang kemenangan, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!