PSKLM agih sumbangan RM30,000 kepada tiga pertubuhan
PETALING JAYA - Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menyampaikan sumbangan keseluruhan sebanyak RM30,000 kepada tiga badan dan pertubuhan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, agihan itu dilaksanakan ketika Program Ziarah Ramadan yang dianjurkan baru-baru ini.
Menurutnya, setiap pertubuhan menerima sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu mengisi dana operasi serta menampung keperluan yang diperlukan.
“Sumbangan disampaikan kepada Pusat Pengajian Tahfiz Darul Furqan, Sentul, Kuala Lumpur; Pusat Khidmat Masyarakat, Selat Klang dan Pusat Jagaan Rumah Bakti Nursyaheera, Cheras Kuala Lumpur.
“Obligasi tanggungjawab korporat sosial (CSR) ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Zakaria berkata, sejak tahun 2011, pihak PSKLM telah membelanjakan hampir RM1.7 juta untuk tujuan sumbangan dan inisiatif CSR kepada pelbagai penerima di seluruh negara.
Jelasnya, penyaluran sumbangan daripada semua syarikat konsesi lebuh raya telah dilaksanakan termasuk untuk bantuan persekolahan, bantuan pasca banjir, program sukan, sumbangan kepada barisan hadapan dan Tabung Covid-19 serta perayaan utama.
“Jumlah sumbangan PSKLM ini tidak termasuk program CSR yang dijalankan secara berasingan oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya seperti pemberian diskaun tol dan rebat dan lain-lain lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!