Ahli keluarga yakin Asyraf selamat

Gambar terbaru Mohammad Ashraf sebelum memulakan acara itu, Sabtu lalu. Gambar kecil: Siti Norizan
Gambar terbaru Mohammad Ashraf sebelum memulakan acara itu, Sabtu lalu. Gambar kecil: Siti Norizan
A
A
A

GOPENG - "Saya yakin adik boleh 'survive'," demikian kata kakak kepada Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang dilaporkan hilang ketika menyertai larian itu, Sabtu lalu.

Siti Norizan Hassan, 36, melahirkan keyakinan itu apabila adiknya mempunyai pengalaman lebih lima tahun dalam pendakian dan larian dalam pelbagai acara yang disertainya.

"Ini adalah hobi dan kepuasan dirinya dengan mendaki dan menyertai larian. Sebelum kejadian, dia ada minta izin ibu sebelum bergerak ke Perak.

"Disebabkan dia adalah jurulatih pendakian di tempat kerja, dia sangat faham aspek keselamatan. Malah, baju yang dipakai ketika hilang adalah warna terang," katanya ketika ditemui di pos kawalan operasi di Kampung Sungai Itek di sini, hari ini.

Khidmat Paula dan Tipo, anjing pengesan dari Unit K9 JBPM Kuala Lumpur diperlukan bagi mengesan mangsa.
Khidmat Paula dan Tipo, anjing pengesan dari Unit K9 JBPM Kuala Lumpur diperlukan bagi mengesan mangsa.

Menurutnya, mereka turut mengecam botol air milik mangsa yang ditemui oleh pasukan penyelamat berhampiran dengan lokasi terakhir dia dilihat.

"Keadaan isterinya dan ibu sekarang ini stabil. Cuma sekali sekala mereka sedih bila adik tak ada bersama dengan kumpulan penyelamat turun dari hutan ini," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yunus Abu berkata, seramai 130 orang terlibat dalam gerakan mencari dan menyelamat Pembantu Makmal, Pejabat Kesihatan Daerah Muar itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, khidmat Paula dan Tipo, anjing pengesan dari Unit K9 JBPM Kuala Lumpur diperlukan bagi mengesan keberadaan mangsa di radius 3KM sekitar check point 6.

"Operasi dipergiatkan selepas menemui botol air milik mangsa semalam. Itu merupakan petunjuk pertama yang ditemui dalam operasi kali ini.

"Anggota dari pelbagai agensi dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan 30 anggota mencari di kawasan check point terbabit. Difahamkan mangsa merupakan peserta 10 teratas dalam acara itu," katanya.

Yunus menunjukkan check point 6, lokasi terakhir mangsa dilihat.
Yunus menunjukkan check point 6, lokasi terakhir mangsa dilihat.

Yunus berkata, operasi melibatkan anggota Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, Pasukan Gerakan Am (PGA), penduduk kampung dan pendaki-pendaki serta pihak penganjur.

Sabtu lalu, mangsa bersama 485 peserta lelaki dan wanita memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25KM disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada di 10 peserta teratas dalam pertandingan itu.

Kejadian itu disedari oleh rakannya, Dr Mohd Farid Md Kamal, 32, yang membuat laporan polis di Balai Polis Gopeng, semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!