Balik kampung: Trafik menuju pantai timur kembali lancar
GOMBAK - Aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur telah kembali lancar dan terkawal.
Tinjauan Sinar Harian pada Ahad mendapati pergerakan kenderaan merentas negeri di lebuh raya utama itu menunjukkan perubahan tersebut selepas jam 5.15 petang.
Ia susulan orang ramai telah mula bergerak balik ke kampung halaman masing-masing sejak 29 April lalu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Bagaimanapun, difahamkan aliran tersebut dijangka sesak pada jam 8 malam hingga 10 malam berikutan banyak pengangkutan awam seperti bas akan melalui lebuh raya berkenaan menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi perlahan.
Pada Ahad, trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mula sesak sepanjang 17.4 kilometer (KM) selepas Plaza Tol Gombak hingga KM37.2 Genting Sempah setakat jam 5.32 petang tadi.
Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat memaklumkan, turut mengalami kesesakan sepanjang dua kilometer adalah trafik dari KM48.9 Bukit Lentang hingga KM50.9 Lentang.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!