Lebih 1 juta kenderaan keluar dari KL menjelang Aidilfitri

Lebih 1 juta kenderaan dijangka keluar dari KL menjelang Aidilfitri. (Gambar kecil: Sarifudin)
Lebih 1 juta kenderaan dijangka keluar dari KL menjelang Aidilfitri. (Gambar kecil: Sarifudin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga kota dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memastikan tahap kecergasan mental serta fizikal berada di tahap terbaik sebelum memulakan perjalanan keluar daripada ibu negara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangkakan jatuh pada 3 Mei nanti.

Sarifudin - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Sarifudin - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lebih 1 juta kenderaan dijangka bergerak keluar terutama pada 29 April yang merupakan hari terakhir bekerja buat kebanyakan penduduk di sini.

"Saya jangkakan pada 29 Mei (Jumaat) akan berlaku pergerakan trafik paling sibuk di seluruh laluan keluar kerana merupakan hari terakhir bekerja. Kebanyakan perniagaan juga dijangka sudah mula bercuti atau beroperasi separuh hari pada hari tersebut.

"Saya nasihatkan kepada mereka yang mahu pulang ke kampung supaya merancang perjalanan dan pilih waktu di mana kita benar-benar bersedia untuk memandu. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan cukup tidur dan jangan tergesa-gesa," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Balai Trafik Kuala Lumpur.

Beliau berkata, penyelenggaraan terhadap kenderaan perlu diberikan perhatian khusus sebelum memulakan perjalanan, untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan jalan raya.

Katanya, sebelum memulakan perjalanan, pastikan membuat pemeriksaan rutin seperti memastikan bunga tayar dalam keadaan baik dan cukup tekanan udara, periksa brek sama ada berfungsi dengan baik ataupun tidak serta tukar minyak enjin jika sudah melebihi had ditetapkan oleh pengeluar kenderaan.

"Satu lagi saya ingatkan buat persediaan yang baik terutama dalam penyelenggaraan kenderaan kerana kalau kita mengalami kerosakan di tengah jalan, kita menghadapi risiko dilanggar kenderaan lain apabila berhenti di tepi jalan," katanya.

Sarifudin berkata, setiap pengguna jalan raya seharusnya memandu secara berhemah dan bertimbang rasa kerana faktor sikap pemandu merupakan punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.

"Bila berlakunya kemalangan, selalunya melibatkan pelbagai faktor, tetapi faktor paling utama bagi saya adalah pada sikap mangsa itu sendiri, lebih pada diri sendiri.

"Kadang-kadang benda itu kita boleh sahaja elak tetapi disebabkan 'sikap' itu sendiri yang menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Jadi, jagalah sikap semasa memandu, terutama jaga jarak selamat dan tidak memotong yang boleh membahayakan nyawa sendiri dan orang lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menjangkakan jumlah trafik yang tinggi di semua laluan keluar utama di setiap sempadan ibu negara dan memberi jaminan bahawa pihaknya akan mempertingkatkan kawalan trafik di setiap laluan berkenaan.

"Kuala Lumpur ini menjadi titik keluar semasa Aidilfitri dan kita tahu penduduk kita di sini amat padat. Jadi bila orang keluar (balik kampung) memang akan terasa ditambah lagi dengan sempadan dan lebuh raya di sini yang tak panjang jadi kebiasaannya memang dah sesak.

Operasi berterusan JSPT KL memberi impak positif dalam membendung aktiviti samseng jalanan dan jenayah.
Operasi berterusan JSPT KL memberi impak positif dalam membendung aktiviti samseng jalanan dan jenayah.

"Oleh sebab itu, kita memang dah biasa buat kawalan seperti ini, jadi tiada isu nak keluar ke utara,timur, selatan atau barat dari sini kerana anggota kita memang dah siap siaga untuk membuat kawalan setiap hari bermula Ramadan hingga Aidilfitri nanti," jelasnya.

Katanya, pihak polis turut menambah kekuatan anggota dan pegawai untuk memastikan pergerakan trafik lancar serta menjaga keselamatan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan warga Lembah Klang untuk membeli belah menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata, dianggarkan jumlah kenderaan di jalan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India dan Jalan Dang Wangi dipenuhi sekitar 100,000 kenderaan pada setiap malam hujung minggu berikutan sambutan luar biasa warga Lembah Klang terhadap Bazar Aidilfitri selepas dua tahun dilanda wabak Covid-19.

"Di sini persiapan raya agak berbeza. Terutama persiapan menjelang hari raya kita jangkakan jumlah kenderaan akan memuncak pada setiap malam terutama pada hujung minggu.

"Kita faham empat ke lima hari terakhir Ramadan, seluruh Lembah Klang akan tertumpu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India dan Jalan Dang Wangi. Selalunya selepas berbuka puasa jalan tersebut dia akan sesak.

"Memang banyak kenderaan, kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berbuka puasa di luar kemudian terus membeli belah membuatkan keadaan menjadi sangat padat,"katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, selain penambahan anggota, pihaknya turut memanjangkan waktu tugas setiap anggota dan pegawai terbabit selaras dengan polisi beberapa pusat membeli belah di sini yang memanjangkan waktu operasi masing-masing sehingga jam 12 tengah malam ke 1 pagi.

Pada masa sama, beliau turut memberi penekanan terhadap kegiatan parkir haram yang sering menjadikan pengunjung di kawasan tumpuan ramai sebagai mangsa.

Bagaimanapun katanya, sepanjang Ramadan kali ini, pihak polis masih tidak mengesan kegiatan tersebut di sekitar ibu kota dan tiada sebarang laporan dibuat oleh orang awam berkenaan aktiviti tersebut.

"Untuk menghadapi sambutan perayaan ini, kami di JSPT memang mempunyai satu pasukan yang membuat risikan pada bulan Ramadan.

"Parkir haram ini ada dua, yang pertama ianya mempunyai struktur seperti ketua kawasan, penyelia dan penjaga parkir. Yang kedua pula dijalankan oleh gelandangan dan penagih dadah.

"Pihak JSPT akan ambil tindakan tegas sekiranya aktiviti tersebut dikesan. Kita tidak mahu orang awam tertekan, terutama dalam fasa peralihan endemik ini, kita faham sentimen sambutan raya. Jadi kami tidak mahu isu parkir haram mengganggu mood sambutan raya,"tegasnya.

Kadar kemalangan dan kesalahan trafik sepanjang Ramadan.

Sarifudin - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Sarifudin - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Sementara itu Sarifudin berkata, faktor Ramadan bukan punca kepada peningkatan kadar kemalangan dan kesalahan trafik di ibu negara sebaliknya, pembukaan semula sektor ekonomi negara dan fasa peralihan ke endemik menyebabkan jumlah kemalangan meningkat.

"Bulan Ramadan tiada beza sangat. Yang ketara adalah pada fasa pandemik dan bergerak ke peralihan endemik yang itu memang banyak pertambahan kes. Bila fasa peralihan endemik, orang awam mula keluar untuk kembali kepada kehidupan normal.

"Kebetulan banyak benda yang berlaku pada bulan Ramadan ini dengan pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain faktor yang menyumbang pertambahan kenderaan di atas jalan raya," jelasnya.

Beliau berkata, mengikut statistik Jalan Kuching, Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) dan Lebuhraya Connaught merupakan kawasan 'hot spot' berlakunya kemalangan di sini sejak tiga tahun lalu.

Jelasnya, punca kemalangan pula merangkumi pelbagai faktor tetapi penyebab utama kebanyakan insiden berpunca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

"Jumlah kemalangan sepanjang tahun 2022 berjumlah 13,817 di mana bulan Januari mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 4,338; Februari 3,028; Mac (4,047) dan sehingga 1 hingga 17 April (2,351)," ujarnya.

Antara kenderaan yang disita JSPT KL dalam operasi mingguan di Ibu negara.
Antara kenderaan yang disita JSPT KL dalam operasi mingguan di Ibu negara.

Mengulas mengenai masalah samseng jalanan, Sarifudin berkata, operasi harian dan operasi bersepadu mingguan yang dijalankan di ibu negara memberi impak positif dalam usaha mengekang penularan gejala mat rempit.

"Operasi berterusan kami ada impak, terutama dalam mengurangkan isu samseng jalanan dan kita juga bantu cegah jenayah. Hampir setiap minggu kita tangkap satu ke dua suspek menggunakan motor curi.

"Isu mat rempit ini saya mengukur berdasarkan respon orang awam. Kalau saya tengok di media sosial, kawan-kawan, jiran tiada bercerita pasal mat rempit dan saya sendiri pusing-pusing pun jarang nampak, jadi saya percaya aktiviti rempit itu memang berkurang," katanya.

Menurutnya, inisiatif JSPT menyita motosikal milik mat rempit terbabit sehingga selesai prosiding mahkamah membuahkan hasil apabila kegiatan samseng jalanan berkenaan di sini menunjukkan penurunan drastik.

"Walaupun masih ada tangkapan, tetapi kita di sini berbeza dengan lebuh raya di negeri lain yang kadang-kadang sampai beratus orang mat rempit terlibat.

"Mereka yang ditahan ini, motonya kami akan sita dan tidak akan serahkan motosikal selagi tidak selesai dituduh di mahkamah. Berbanding dulu selepas dijamin motosikal mereka boleh bawa keluar terus.

Kes membabitkan kematian melibatkan pemandu mabuk akan segera dituduh di mahkamah.
Kes membabitkan kematian melibatkan pemandu mabuk akan segera dituduh di mahkamah.

"Kadang-kadang ada yang tidak hadir terus ke mahkamah. Jadi kami ambil inisiatif begini. Bila tiada motosikal barulah mereka berfikir, dan ingin menyelesaikan urusan mahkamah dengan segera," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarifudin berkata, pelbagai inisiatif yang diambil oleh pihak polis dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pemandu mabuk bagaimanapun masih belum membuatkan hasil.

Katanya, hasil operasi berterusan, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tangkapan membabitkan pemandu mabuk yang tertinggi dalam negara iaitu sebanyak 1,155 kes pada tahun 2021 dan 680 ditahan sejak Januari sehingga 17 April lalu.

"Ini jumlah yang sudah kita tangkap, kalau tidak tangkap saya rasa lagi banyak kes kemalangan berlaku. Tetapi nak kata ada penurunan itu agak sukar, ditambah lagi dengan faktor peralihan ke fasa endemik ini, orang ramai dah mula keluar.

Aktiviti merempit di Kuala Lumpur didapati menunjukkan pengurangan mendadak.
Aktiviti merempit di Kuala Lumpur didapati menunjukkan pengurangan mendadak.

"Mana-mana pemandu mabuk yang terlibat dalam kemalangan maut kita akan tuduh di mahkamah secepat mungkin. Tujuannya adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pemandu mabuk ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!