Sukan SEA: Skuad MTB berlepas awal sesuaikan venue pertandingan
PASUKAN berbasikal bukit (MTB) kebangsaan yang menjadi kumpulan pertama kontinjen Malaysia berlepas ke Vietnam untuk menghadapi Sukan SEA ke-31 berharap dapat segera menyesuaikan diri dengan keadaan trek pertandingan.
Pengurus pasukan Firdaus Arshad berkata, keadaan trek di Hoa Binh masih menjadi ‘rahsia’ dengan tiada maklumat diberikan tuan rumah, termasuk jarak sebenar menjelang acara tersebut yang dijadualkan pada 12 hingga 17 Mei.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya membuat analisis sendiri berdasarkan makluman diterima daripada sumber tidak rasmi serta carian di Internet dan hanya dapat mengetahui keadaan sebenar selepas berlatih di venue berkenaan bermula esok hingga 11 Mei.
"Kita uji trek ini untuk membiasakan pelumba dengan trek berbeza kerana biasanya dalam tiga hingga empat kilometer (km) sahaja bagi satu loop, tetapi di Hanoi, 5km untuk kategori Cross Country Olympics (XCO) dan Cross Country Relay (XCR).
"Bagi kategori downhill biasanya 1km, tetapi Sukan SEA kali ini lebih 2km,” katanya ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini pada Ahad.
Firdaus turut berharap kem latihan di Tanah Rata, Cameron Highlands selama tiga minggu pada bulan lepas dapat membantu meningkatkan prestasi pelumba negara pada temasya dwitahunan itu."Pelumba kita sudah menunjukkan peningkatan dan bersedia untuk berhadapan dengan saingan utama antaranya daripada pelumba tuan rumah, Indonesia, Singapura dan Thailand,” katanya.
Sementara itu, pelumba kategori XCO Muaz Abd Rahim, 33, melihat pengalamannya selama 10 tahun dalam sukan itu dapat membantunya merealisasikan impian membawa pulang pingat dari Hanoi.
"Setiap hari kami berlatih sejauh 120 hingga 140km, iaitu selama lima jam untuk perbaiki kekurangan terutamanya bahagian di landing (pendaratan). Pengalaman lepas bersaing dengan pelumba luar seperti Iran juga memberi kelebihan kepada saya untuk memberikan terbaik di temasya itu nanti.
"Antara cabaran di Hanoi ialah keadaan bentuk muka bumi dan cuaca, dan yang paling kami risau ialah Covid-19, sebab kalau kena perlu kuarantin agak lama, malah akan menjejaskan kesihatan serta persiapan latihan bagi menghadapi temasya ini,” katanya.
Skuad MTB Malaysia dibarisi 15 individu termasuk 10 atlet, adalah pasukan negara luar kedua berlepas ke Vietnam selepas Indonesia, yang sudah tiba di Hanoi dua minggu lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!