Rakyat Malaysia 'kelam-kabut' nak sambut raya
SHAH ALAM - Rakyat Malaysia didapati kelam-kabut untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok.
Tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati, rata-rata orang ramai terkejut mendengar pengumuman daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sekitar jam 8 malam pada Ahad yang mengesahkan bahawa Hari Raya Aidilfitri disambut pada 2 Mei 2022.
Ia susulan ramai yang menyangka tarikh hari raya Aldifitri jatuh pada 3 Mei ini.
Seorang pengguna Facebook, Kay Kyrie MY misalnya berkata, dia masih belum balik ke kampung halamannya kerana tidak menyangka dengan tarikh tersebut.
"Kelam-kabut la orang Malaysia malam ini. Termasuk saya. Tidak balik kampung lagi ni," katanya dalam ruangan komen di media sosial itu, pada Ahad.
Selain itu, pengguna Facebook bernama Hafidzi Mohd berkata, hajatnya untuk membeli baju Melayu esok tidak kesampaian susulan tidak menyangka keputusan pengumuman berkenaan.
"Cadang esok baru nak beli baju Melayu. Komfem (confirm) jadi murah.
"Nampak gayanya buat 'Grab' je la," ujarnya.
Sementara itu, pengguna Facebook, Idzham Syafiq turut melahirkan rasa resah kerana tidak mengambil cuti kerja pada esok susulan menyangkakan bahawa tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa.
"Wei esok tak ambik cuti sebab ingat Selasa raya," menurutnya.
Di samping itu, pengguna Facebook, Mohamad Faisal Osman berkata, dia masih belum membuat sebarang persiapan raya seperti yang dilakukan pada tahun sebelum ini.
"Serius la satu apa tak buat lagi. Ingat esok nak buat semua itu dari pagi sampai malam macam biasa setiap tahun," katanya.
Pengguna Facebook, Remos Remos pula berkata, makanan-makanan bagi persiapan untuk raya juga masih belum dibeli lagi.
"Baru nak cari minyak tanah. Dah dua hari cari tak jumpa.
"Ayam tak beli. Daging tak beli," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!