Pusat urut: Empat didakwa rasuah pegawai Imigresen

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat individu didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan, hari ini atas dakwaan memberi suapan kepada pegawai Imigresen supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing, tahun lalu.

Tertuduh berkenaan, Kam Wan Hung, 54; Tan Siant Yiang, 34; Pang Bak Long, 47; dan Wong Kok Chong, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pertuduhan dibuat di hadapan Hakim Rozina Ayub, Hakim Azman Ahmad dan Hakim Azura Alwi.

Wan Hung didakwa dengan dua pertuduhan manakala Siant Yiang pula berdepan tiga pertuduhan, sementara Bak Long dan Kok Chong pula masing-masing didakwa atas satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Wan Hung didakwa secara rasuah memberi suapan berjumlah RM17,000 kepada individu bernama 'Shafik' bagi pihak Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Putrajaya, Mohammed Yuzaiman Ahmad, 47.

Tindakan itu dibuat supaya pegawai tersebut tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing di 22 buah premis rumah urut di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, Siant Yiang, Bak Long dan Kok Chong pula masing-masing didakwa memberi suapan bernilai RM9,000, RM6,000 serta RM2,000 kepada individu sama, bagi tujuan sama.

Kesemua suapan itu diberikan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/1963 bagi pekerja asing rumah urut di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan ke atas kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM10,000 dan RM20,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM cawangan Kuala Lumpur sekali sebulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 dan 24 April ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!