Beraya jangan sampai perut boroi

Kenaikan berat badan secara mendadak dan sukar pula untuk kembali kepada berat asal akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang. -Foto 123rf
Kenaikan berat badan secara mendadak dan sukar pula untuk kembali kepada berat asal akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang. -Foto 123rf
A
A
A

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri kali ini sudah pasti berbeza jika dibandingkan dengan sambutan lebaran pada 2020 dan 2021.

Masakan tidak, ketika itu kita menyambut Aidilfitri dalam suasana berbeza ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) angkara Covid-19 yang mengganas pada penghujung tahun 2019.

Waktu itu, paling tidak pun kita hanya boleh bergerak dalam 10 kilometer radius, tidak dibenarkan menziarahi dan merentas negeri menyambung tradisi berhari raya di kampung halaman.

Dalam tempoh dua kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, hati sedikit pilu mengenangkan tidak dapat bersama ibu bapa tercinta di pagi raya, menghulur tangan tanda kemaafan, tiada aktiviti membakar lemang, memasak rendang dan mengacau dodol.

Tetapi tahun ini kita kembali kepada tradisi menyambut 1 Syawal. Jalan raya mula sesak sejak Jumaat dan perjalanan mengambil masa hampir 12 jam untuk ke pantai timur. Penangan raya kali ini cukuplah berbeza.

Dalam kita bergembira menyambut Syawal dan menikmati pelbagai juadah istimewa di hari raya, sentiasalah beringat dengan kuantiti pengambilan makanan.

Perkara yang perlu diberi perhatian tidak kira semasa menghadiri rumah terbuka atau pada hari-hari biasa adalah keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.

Setiap sajian yang diambil haruslah pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik bagi mengelak timbulnya masalah lain.

Bukanlah berniat menghalang pesakit mahupun golongan yang sihat untuk menikmati pelbagai juadah yang dihidangkan sempena Aidilfitri tetapi anda perlu bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan tersebut.

Jika makan berlebihan di hari raya, ia boleh mengakibatkan berat badan meningkat dan risiko mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

Kenaikan berat badan secara mendadak dan sukar pula untuk kembali kepada berat asal akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!