Peniaga air balang untung besar
PEKAN - Ramadan tahun ini memberi limpahan rezeki buat peniaga apabila hasil jualan mereka laris dengan keuntungan berlipat kali ganda berbanding pada Ramadan tahun-tahun sebelumnya.
Bagi peniaga terlibat, rezeki dinikmati itu disambut dengan penuh kesyukuran.
Seorang peniaga air balang di Bazar Ramadan Chini, di sini, Mohd Iqbal Faiz Abdullah, 27 antara peniaga yang mampu tersenyum lebar kali ini apabila perniagaannya membawa keuntungan besar pada Ramadan ini.
Dengan hanya 11 balang air pelbagai perisa yang dijual, dia mampu meraih hasil jualan hingga RM2,000 sehari.
Waktu perniagaan hanya bermula jam 3 hingga 6.30 petang namun hasil jualannya untuk tempoh tiga jam setengah itu menyamai pendapatan sebulan bagi sesetengah orang.
"Memang saya sudah jangkakan dalam tempoh peralihan kepada endemik tahun ini, perniagaan khususnya di bazar Ramadan lebih baik.
"Berbeza ketika pandemik dua tahun lalu di mana rata-rata peniaga bergelut dengan pelbagai cabaran untuk meneruskan perniagaan dan kelangsungan hidup.
"Cuma agak di luar jangkaan perniagaan saya 'meletup' dengan hasil diraih benar-benar 'menjadi' jauh lebih dari yang diharapkan,"katanya.
Mohd Iqbal Faiz yang masih bujang lebih memilih untuk berniaga air balang kerana ia tidak memerlukan modal besar selain mudah disediakan.
"Selain itu, pada bulan Ramadan, air yang dijual dengan pelbagai perisa dan warna 'menggoda' pelanggan yang kehausan berpuasa.
"Selain gerai makanan juadah berbuka lain, gerai air minuman antara yang menjadi tumpuan pelanggan di mana-mana bazar Ramadan sekali pun,"katanya.
Menurutnya, perniagaan air balang yang diusahakan berjalan lancar sejak awal Ramadan.
"Pelanggan sentiasa ramai dan tidak berubah sehingga kini," katanya.
Dibantu lima pekerja, Mohd Iqbal Faiz mengakui mereka tidak menang tangan melayan pelanggan setiap hari.
"Biarpun agak penat namun segalanya berbaloi.
"Alhamdulillah, dengan kuasa beli orang ramai yang semakin baik, ia memberi rezeki buat peniaga seperti saya," katanya.
Mohd Iqbal Faiz berkata, limpahan rezeki yang diraih pada Ramadan kali ini akan digunakan sebaik mungkin.
"Sebahagiannya saya akan gunakan untuk modal perniagaan selepas Aidilfitri dan sebahagiannya akan disimpan untuk masa depan," kata anak keenam daripada lapan beradik ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!