Hasrat pakai sedondon dengan ibu bapa tak kesampaian

Nurhairieka (dua dari kanan) melihat baju raya sedondon yang akan dipakai mereka Aidilfitri kali ini.
Nurhairieka (dua dari kanan) melihat baju raya sedondon yang akan dipakai mereka Aidilfitri kali ini.
A
A
A

PORT DICKSON – Hasrat lima beradik di Taman Sunggala di sini untuk memakai pakaian sedondon bersama ibu bapa tidak kesampaian selepas kedua-duanya meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu.

Aktiviti bersalaman di pagi raya yang selama ini menjadi rutin buat Muhammad Haidir Rodzi, 24; Muhammad Hairie, 21; Nurhairieka,19; Muhammad Haiqiel, 14 dan Muhammad Khierzamani, 8, kini akan beralih kepada menziarahi pusara ibu bapa mereka Allahyarhamah Nazita Idris, 45 dan Allahyarham Rodzi Tahar, 55.

Menurut Nurhairieka, keluarganya sudah lama tidak membeli baju raya dan disebabkan itu pada tahun lalu mereka telah merancang awal untuk memakai baju raya sedondon tahun ini.

Nurhairieka
Nurhairieka

“Ketika emak dan ayah ada lagi kami dah merancang nak pakai baju raya warna sama tahun ini. Tapi nampaknya ia tak kesampaian selepas emak dan ayah tinggalkan kami buat selama-lamanya Jun lalu.

“Saya sebenarnya tak fikir pun nak raya. Hati saya sayu mengenangkan ini raya pertama kami tanpa orang tua. Tapi saya kena tolak perasaan sedih itu demi adik-adik,”katanya kepada Sinar Harian.

Ceritanya, setiap kali menjelang Syawal ibu bapanya paling sibuk menguruskan itu dan ini tetapi sekarang ia digalas sendiri

Katanya, masih belum merancang memasak juadah apa ketika di pagi raya tetapi yang pasti seusai solat Aidilfitri dia adik beradik serta nenek akan pergi menziarahi kubur.

“Saya reda ibu bapa sudah tiada. Lagipun mereka pergi dengan cara yang baik dan selepas pemergian mereka pun, banyak rezeki datang kepada kami.

“Macam rumah peninggalan arwah ayah ini, kami baru saja ubah suai sebagai memenuhi impiannya. Tapi sayangnya mereka sudah tiada, kalau ada tentu lagi meriah raya kami tahun ini,” Katanya.

Sementara itu bercerita mengenai perkembangannya, Nurhairieka berkata, baharu saja diterima bekerja sebagai pembantu di sebuah tadika tidak jauh dari rumahnya.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Katanya, tidak berhasrat untuk bekerja di luar kawasan dan melanjutkan pelajaran kerana mahu memikul tanggungjawab menjaga adik-adik dan nenek.

“Lagipun along (Muhammad Haidir) dah kahwin dan tidak lagi tinggal bersama. Walaupun begitu, tapi dia selalu datang menjenguk dan ambil berat soal kami.

“Abang kedua pula (Muhammad Hairie) berniaga burger dengan kawan. Saya pula suka memasak dan ada perancangan nak berniaga, tapi tengoklah nanti macam mana,” katanya.

Kisah lima beradik ini yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 pernah dilaporkan Sinar Harian Jun tahun lalu dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

Ketika itu lima beradik ini serta nenek turut disahkan positif Covid-19 namun tidak serius.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!