Raikan Syawal dengan berziarah, erat silaturahim

Tengku Zafrul berkesempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Seri Paduka Baginda di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin.
Tengku Zafrul berkesempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Seri Paduka Baginda di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Raikan kemenangan menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan dengan saling menziarahi sesama umat Islam semasa Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia juga bertepatan dengan khutbah Aidilfitri pada tahun ini yang menyentuh tentang 'Kemenangan Menuju Keredhaan’.

“Khutbah Aidilfitri tahun ini berkisar mengenai ‘Kemenangan Menuju Keredhaan’. Sesungguhnya, Aidilfitri adalah satu kemenangan.

“Kemenangan umat Islam setelah sebulan kita berpuasa di bulan Ramadan dan sebaik-baiknya, kemenangan ini kita sambut dengan merapatkan silaturahim sesama umat dengan aktiviti ziarah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau dalam pada itu turut berkesempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, rakan-rakan Kabinet dan Keluarga Malaysia di Masjid Wilayah, KL.

“Syukur ke hadrat Ilahi, selepas dua tahun menyambut Aidilfitri dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dengan keredaan yang tinggi, akhirnya tahun ini kita diberkati dengan nikmat menyambut dengan lebih kebersamaan dan intim bersama keluarga dan sahabat handai.

“Oleh itu, samalah-samalah kita panjatkan setinggi kesyukuran atas nikmat ini dengan terus mempraktikkan kawalan kendiri mengikut keperluan seperti yang dinasihatkan.

“Insya-ALLAH, dengan berkat doa berterusan #KeluargaMalaysia dan disiplin kawalan kendiri, kemenangan kita melawan Covid-19 akan tercapai,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!