PM iringi Agong, Permaisuri tunai solat Aidilfitri
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin.
Perkara tersebut dikongsikan melalui hantaran Ismail Sabri menerusi akaun Facebook rasminya.
“Saya juga berasa syukur dan gembira apabila masjid-masjid di seluruh negara pagi ini dipenuhi dengan jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ahli keluarga dan sahabat handai setelah dua tahun tidak dapat melakukannya kerana Covid-19,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Isnin.
Pada Ahad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memandu secara cermat dalam perjalanan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Jika ada yang dalam perjalanan pulang ke kampung, pandulah dengan cermat agar dapat bertemu dengan ahli keluarga dan sanak saudara.
“Marilah kita ambil keberkatan bulan Syawal untuk kita bermaaf-maafan dan merapatkan ukhwah Keluarga Malaysia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!