Ada yang mula alpa tidak pakai pelitup muka di tempat tertutup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SETELAH prosedur operasi standard (SOP) semakin dilonggarkan bermula 1 Mei, ada yang mula alpa tentang disiplin kendiri berhubung pencegahan penularan Covid-19.

Ini dapat dilihat ada sesetengah orang yang tidak memakai pelitup muka di tempat tertutup dan di kawasan dipenuhi orang ramai semasa hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Mereka seharusnya sedar dengan tindakan ini boleh menyebabkan kes Covid-19 di negara ini akan mengalami peningkatan.

Kita juga tidak mahu apabila kes Covid-19 semakin meningkat, SOP yang dilonggarkan ini akan diperketatkan semula.

Apabila SOP ini mula diperketatkan semula, semua orang akan terkesan sekiranya ini terjadi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini menegaskan bahawa pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Menurutnya, pemakaian pelitup muka hanya tidak diwajibkan apabila berada di luar bangunan.

"Pemakaian pelitup muka terutama di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang sekeliling khususnya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak serta individu terimunokompromi," katanya.

Di samping itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut dilaporkan menjangkakan kes positif Covid-19 terutamanya bagi kategori satu dan dua menunjukkan peningkatan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati trend kes positif Covid-19 untuk tempoh dua bulan lalu menunjukkan sebanyak 99.5 peratus kes adalah kategori satu dan dua.

“Kita jangka selepas hari raya mungkin kes akan meningkat, tetapi kebanyakannya adalah kategori satu dan dua.

“Untuk tempoh dua bulan, kita telah perhatikan trend kes Covid-19, kebanyakan kes 99.5 peratus adalah kategori satu iaitu tidak ada gejala atau kategori dua, gejala ringan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!