Perlu qada zakat fitrah jika belum tunaikan kewajiban: Mufti
KOTA BHARU - Umat Islam khusus rakyat Kelantan yang belum membayar zakat fitrah pada bulan Ramadan lepas, wajib qada zakat fitrah walaupun telah lewat daripada waktu ditentukan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hal ini kerana terdapat hukum mengenai peringatan waktu untuk seseorang umat Islam yang merdeka iaitu golongan tua atau muda, lelaki atau perempuan dan berakal untuk membayar zakat fitrah.
"Hukum harus bermula dari awal bulan Ramadan hingga akhir bulan Ramadan manakala hukum wajib membayarnya pula apabila terbenam matahari pada akhir Ramadan dan berakhir sebelum terbenam matahari 1 Syawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata sekiranya memasuki 2 Syawal ia perlu wajib qada niat zakat fitrah.
Sementara itu, Imam Masjid Bandar Kuala Krai Armin Azahari Mamat menyeru semua umat Islam supaya segera menunaikan kewajipan zakat fitrah kerana berdosa sekiranya tidak melaksanakannya.
"Memandangkan baru-baru ini umat Islam menjangkakan 1 Syawal jatuh pada 3 Mei (hari ini), mungkin ramai tidak sempat untuk membayar zakat fitrah pada akhir Ramadan lepas.
"Saya seru semua umat Islam supaya segera menunaikan kewajipan ini, jangan tangguh atau tunggu Ramadan tahun depan untuk membayarnya kerana berdosa sekiranya tidak melaksanakannya," katanya.
Beliau berkata zakat fitrah dibayar untuk kita berkongsi kepada orang yang memerlukan (fakir dan miskin) bagi meneruskan kelangsungan hidup. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!