Rumah transit wanita mengandung diperiksa
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pemeriksaan terhadap rumah transit untuk wanita mengandung yang didakwa terlibat dalam sindiket jual beli bayi selepas aktiviti itu didedahkan Sinar Harian, hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, JKM mengenalpasti lokasi rumah terbabit dan membuat pemeriksaan mengejut susulan daripada laporan berkenaan.
“Pagi tadi (semalam), JKM telah pun menjalankan pemeriksaan mengejut sejurus membaca laporan Sinar Harian.
“Buat masa ini kita sedang menyiasat secara terperinci kes sindiket pemerdagangan bayi. kita akan siasat sama ada rumah transit tersebut mempunyai lesen atau pun tidak,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.
Hannah turut meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa eksploitasi sindikit supaya tampil dan melaporkan kejadian itu kepada polis.
“Ini merupakan jenayah serius. Apa yang dilakukan oleh sindiket merupakan jenayah pemerdagangan manusia. Jadi saya minta pengadu tampil membuat laporan polis,” katanya.
Hannah turut menasihati golongan remaja atau wanita yang mempunyai masalah berkaitan supaya menghubungi talian Kasih, 15999, bagi mendapatkan rujukan yang sepatutnya.
“Mereka boleh tahu rumah mana yang selamat untuk pergi. Sebabnya kita ada banyak badan bukan kerajaan (NGO) di luar sana. Ada yang berdaftar dan ada yang tak berdaftar. Kita tak nak wanita lain jadi mangsa seperti kes ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPKWM) dan JKM akan mengkaji semula undang-undang pengambilan anak angkat (adoption law) supaya dapat menghentikan sindiket pemerdangan bayi.
“Bagi pihak kementerian dan JKM, kita akan mengkaji semula undang-undang mengambil anak angkat supaya lebih bersih dan cepat serta aktiviti pasaran gelap seperti ini kurang atau tidak lagi berlaku,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!