Rancangan Selangor Pertama bakal dibentang Julai ini
SHAH ALAM - Rancangan Selangor Pertama (RSP) adalah antara usul yang bakal dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 25 Julai depan.
Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, RSP tersebut akan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membabitkan perancangan negeri dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
Menurutnya, usul tersebut meliputi rancangan dari segenap sudut seperti halu tuju, perancangan pembangunan, sosioekonomi, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya.
"Ia hampir sama dengan Rancangan Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara tetapi di Selangor dalam konteks tersendiri ada Rancangan Selangor Pertama.
"Saya tidak dapat butiran terperinci tapi saya tahu ia merangkumi semua aspek seperti kebajikan, pengurusan kewangan dan sebagainya.
"Jadi bulan Julai akan menjadi tumpuan untuk semua rakyat di Selangor bagaimana kerajaan yang ada pada hari ini mengorak langkah ke depan dan membuat perancangan lebih rapi bagi membangunkan negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jamuan Aidilfitri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor pada Selasa.
Dalam pada itu, Suee Lim berkata, sidang tersebut akan diadakan selama dua minggu bermula 25 Julai sehingga 5 Ogos depan.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) untuk Sidang DUN Selangor pada Julai depan akan dimaklumkan dua minggu sebelum hari persidangan bermula.
Suee Lim menambah, SOP tersebut akan dibincangkan dan diumumkan setelah mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memandangkan negara masih berada dalam fasa peralihan endemik.
"Mungkin saya akan cadang supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk turut serta, tidak ada had peserta, kehadiran dan sebagainya.
"Jadi semua ketua jabatan boleh datang secara fizikal, tidak perlu berada di pejabat.
"Saya akan lihat semula keperluan pemakaian pelitup muka tapi semasa perbahasan tidak perlu (pakai pelitup muka) kecuali jika ruang itu terlalu padat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!