Pengguna terjejas terima bekalan air berperingkat bermula jam 9 malam
KUALA LUMPUR - Pengguna di 475 kawasan melibatkan lima wilayah Air Selangor yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual petang ini, dijangka menerima bekalan air bersih secara berperingkat bermula jam 9 malam ini dan gangguan dijangka pulih sepenuhnya pada 9 pagi Rabu.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, ia berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang dihenti tugas pagi ini ekoran insiden pencemaran bau yang dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, sudah mula beroperasi pada jam 3.30 petang tadi.
"Proses rawatan air sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan air bersih dan terawat dapat dibekalkan kepada pengguna.
"Bagi kawasan-kawasan terjejas yang menerima bekalan air dari Loji Rawatan Air Bukit Tampoi, pihak Air Selangor akan mengaktifkan sumber bekalan air alternatif dari Loji Rawatan Air Sungai Semenyih bagi kegunaan pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Elina, tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Katanya, bantuan alternatif melalui lori tangki masih digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal dan Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna terjejas.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa dan pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi termasuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan ke Help Centre yang boleh dilayari di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di Twitter, memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi telah kembali beroperasi pada jam 3.30 petang Selasa setelah bacaan 0 Ton dicatat dan pencemaran berjaya diselesaikan.
"Air dijangka disalurkan berperingkat bermula malam ini. Ini kejadian ketiga pencemaran di tempat sama minggu ini,” menurut hantaran itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!