Liverpool mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara
LIVERPOOL mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan dua gol untuk menewaskan Villarreal 3-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium de la Ceramica.
Anak buah Jurgen Klopp yang tampil ke Villarreal berbekalkan kemenangan 2-0 di Stadium Anfield sebelum ini dikejutkan dua jaringan babak pertama pasukan kendalian Unai Emery menerusi Boulaye Dia (3') dan Francis Coquelin (41') untuk mengikat kedudukan agregat 2-2 babak pertama.
Bersambung babak kedua, The Reds kembali memperkemaskan permainan dan mula mengasak kubu The Yellow Submarines, yang akhirnya berjaya diterjemahkan pada pertengahan separuh masa kedua.
Jaringan Fabinho (63'), Luis Díaz (67') dan Sadio Mané (74') sudah cukup mengesahkan kemaraan skuad Klopp ke pentas perlawanan akhir kejuaraan berprestij kelab bola sepak Eropah tersebut buat kali ketiga dalam lima musim.
Liverpool akan berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir kedua antara Manchester City - Real Madrid di Paris pada hujung bulan ini.
"Gol awal perlawanan pertama tidak membantu kami, sebaliknya ia membantu Villarreal menjadi lebih agresif pada babak pertama.
"Kami perlu bekerja lebih keras dan matang. Jelas babak kedua, kami bermain dengan cemerlang," kata bek tengah Liverpool, Virgil van Dijk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!