Kerajaan Terengganu pelawa syarikat melabur di KTIP

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mempelawa serta mengalu-alukan mana-mana syarikat untuk melabur di Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) di Kemaman, yang dijangka beroperasi menjelang 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan menyediakan pelbagai keistimewaan supaya kawasan industri minyak dan gas di negeri itu terus menjadi lokasi pilihan pemain industri itu.

"Insentif juga disediakan bagi menarik lebih ramai pelabur untuk sama-sama membangunkan projek ini," katanya yang turut memberi komitmen untuk mempercepat serta mempermudahkan proses bagi pelabur yang berminat dengan KTIP.

Beliau berkata, projek KTIP yang bernilai RM680 juta itu juga bakal merancakkan ekonomi penduduk setempat serta membuka banyak peluang pekerjaan di negeri itu.

"Insya-ALLAH, ia dijangka membawa prospek pembangunan dalam industri petrokimia serta pembuatan termasuk penghasilan produk berskala besar melibatkan kemudahan teknologi tinggi.

"KTIP dijangka berpotensi meneruskan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja kepada kerajaan negeri dan para pelabur, malah nikmat tersebut juga bakal dirasai rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang... sejajar dengan matlamat satu pelan jangka masa panjang yang diberi nama Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030)," katanya menerusi laman Facebooknya.

Kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini juga telah memberi jaminan untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi membolehkan kawasan industri minyak dan gasnya terus menjadi pilihan utama.

Ahmad Samsuri berkata, untuk menawarkan tenaga kerja yang memenuhi kehendak industri minyak dan gas terutamanya dalam kalangan rakyat tempatan, kerajaan negeri juga telah memperkasakan institusi latihan di bawah kendaliannya.

Pada pelancaran KTIP di Kemaman awal Mac lalu, menteri besar berkata, KTIP juga akan menjadi pemangkin kepada perkembangan infrastruktur dan perkhidmatan sokongan bagi industri hiliran di sekitar Kemaman, dan Terengganu secara amnya.

Menurutnya, sebahagian daripada perancangan KTIP adalah Projek Kertih yang akan menjadi kompleks loji penapisan biopolimer dan biokimia generasi kedua terbesar di Asia dengan membabitkan nilai pembangunan kasar (NPK) RM680 juta.

"Pelabur dapat menjalankan perniagaan di samping menikmati pelbagai insentif cukai yang disediakan di Zon Ekonomi Khas, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) selain ia menyediakan pintu masuk ke pasaran Asia-Pasifik, Eropah, Amerika dan Timur Tengah.

"KTIP juga mempunyai kemudahan logistik penting di wilayah Pantai Timur melalui Pelabuhan Kemaman dan Kertih termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!