Aliran trafik sesak dari Seremban ke Jelebu

Gambar hiasan - Foto bernama
Gambar hiasan - Foto bernama
A
A
A
SEREMBAN - Aliran trafik dari Seremban ke Jelebu bermula dari Jeram Toi sesak sepanjang 12 kilometer sejak tengah hari Selasa susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, bagaimanapun anggotanya telah diarahkan mengawal kesesakan di lampu isyarat di pekan Jelebu bagi melancarkan aliran kenderaan menuju ke Pantai Timur serta Karak dan Muadzam Shah, Pahang.

"Di Lebuhraya Utara Selatan pula, trafik perlahan bermula dari Nilai di Kilometer (KM) 285 hingga ke KM240 di Pedas Linggi iaitu laluan menghala ke selatan.

"Kesesakan disebabkan kenderaan rosak di KM247 dan KM253 namun tiada sebarang kemalangan berlaku," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shafiei sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan masing-masing selain menggunakan laluan alternatif supaya tidak terperangkap dalam kesesakan.

Sementara itu, tinjauan pada jam 4.30 petang mendapati aliran kenderaan mula perlahan di laluan untuk memasuki Plaza Tol Pedas-Linggi Lebuhraya Utara Selatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!