KKM, JKNPP digesa perjelas kes kematian doktor pelatih
GEORGETOWN - Pemimpin di negeri ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memberi penjelasan berhubung laporan kematian seorang doktor pelatih di sebuah hospital baru-baru ini.
Difahamkan, doktor pelatih itu ditugaskan di hospital berkenaan sejak tiga minggu telah meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari salah satu bangunan di situ.
Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, JKNPP dan KKM perlu menyiasat secara menyeluruh kejadian itu berikutan ia didakwa kejadian kedua dalam tempoh kurang dua tahun yang membabitkan seorang doktor pelatih.
Selain itu, beliau juga menggesa pihak terlibat memberi penjelasan mengenai kes dan situasi dihadapi doktor di hospital di negeri ini.
"Saya pernah membangkitkan tentang tempoh masa kerja yang tidak logik membabitkan profesion seorang doktor yang pernah dihadapi oleh ahli keluarga saya sebelum ini,'' katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Rabu.
Kata Norlela, lebih mengecewakan, maklum balas diterima daripada pihak berkuasa kesihatan termasuk ahli politik adalah semua doktor perlu melalui situasi berkenaan.
"Ia seperti budaya alam dunia perubatan yang mana ia tidak sepatutnya berlaku. JKNPP telah memaklumkan bahawa masalah 'overwork' ini berlaku disebabkan kekurangan tenaga kerja.
"Bagaimanapun, jika dilihat, terdapat ramai graduan bidang perubatan masih belum mendapat penempatan untuk bekerja serta terpaksa menunggu lama untuk bertugas.
''Adalah tidak masuk akal jika KKM membiarkan perkara ini berlarutan apabila para doktor perlu membuat keputusan berkaitan hidup dan mati pesakit dalam suasana kerja seperti ini," katanya.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim pula berkata, KKM perlu memberi penjelasan mengenai perkara tersebut dan ia bukan masanya untuk berahsia.
Menurutnya, KKM perlu membuat strategi pengurusan yang lebih baik agar kejadian seperti itu tidak berulang.
"Pihak hospital dan KKM perlu tampil beri penjelasan penuh. Ini bukan masa untuk berahsia. Media melapor tentang tekanan kerja yang tinggi dan kejadian buli terhadap doktor junior.
"KKM perlu siasat dengan kadar segera. Kita faham tekanan kerja warga perubatan sebab kerja mereka berkait soal hidup mati tetapi KKM perlu ada strategi pengurusan yang lebih baik," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu disiasat sebagai mati mengejut.
Bagaimanapun kata Soffian, polis tidak menolak untuk mengklasifikasikan semula kes tersebut sekiranya menemui bukti baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!